PKPD: Penduduk Kuala Kedah tidak diabaikan - Utusan Malaysia

PKPD: Penduduk Kuala Kedah tidak diabaikan

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu sengaja memburukkan keadaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua zon mukim Kuala Kedah di sini sejak Isnin  lalu.

 

Katanya, dakwaan mengatakan penduduk di kawasan itu diabaikan seperti yang tersebar di media sosial, tidak sepatutnya berlaku kerana bantuan makanan di kawasan tersebut sedang diagihkan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), setiap hari.

 

Malah, katanya, penduduk terlibat boleh menghubungi PKOB  pada bila-bila masa jika terputus bekalan makanan.

 

“Daripada berpuluh PKPD yang pernah kita laksanakan di Kedah, reaksi di Kuala Kedah ini luar biasa. Sebelum ini pun, kita pernah laksanakan tiga kali PKPD di Kota Setar termasuk lokasi terbabit, tetapi tak ada reaksi seperti ini.

 

“Saya rasa reaksi ini mungkin disebabkan oleh kawasan Kuala Kedah ini wakil rakyatnya semua daripada parti pembangkang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

PKPD di dua zon di mukim Kuala Kedah bermula Isnin lalu hingga 19 September depan.

 

Tambahnya, nombor telefon peribadinya turut disebarkan secara meluas hingga beliau menerima lebih 1,000 panggilan dan mesej melalui aplikasi WhatsApp sejak semalam.

 

“Saya katakan pada mereka agar menghubungi PKOB. Dalam keadaan sekarang, semua prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu dipatuhi bagi mengelak penularan Covid-19.

 

“Sektor-sektor penting seperti pelabuhan, makanan, kesihatan dan keselamatan dibenarkan beroperasi,” katanya.

 

Sementara itu menerusi laman Facebooknya, Muhammad Sanusi memaklumkan, kerajaan negeri melalui PKOB akan mula mengedarkan 5,000 lagi bakul makanan tambahan kepada penduduk terkesan dengan pelaksanaan PKPD itu.

 

Katanya pengedaran bakul makanan tambahan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000.

 

“Dalam masa sama, edaran bakul makanan sedia ada juga sedang berjalan sejak 2 hari lalu,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN