TAMPIN: Enam tahun menjalani perhubungan jarak jauh (PJJ) namun akhirnya ujian itu ternoktah apabila suami meninggal dunia akibat Covid-19.
Itu yang dihadapi oleh Nor Bainah Mat, 37, apabila suaminya, Mohd. Sharil Abd. Jalil, 36, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor pada 30 Jun lalu.
Nor Bainah memberitahu, arwah suaminya bekerja sebagai pemandu lori dan menetap di tempat kerjanya di Klang bagi memudahkannya menghantar barangan bagi jarak perjalanan jauh seperti di Johor.
Tambahnya, kali terakhir dia bertemu Mohd. Sharil pada penghujung bulan Mei ketika suaminya sempat singgah sebentar di rumah mereka di sini ketika dalam perjalanan menghantar barang ke Johor.
“Suami kata dia singgah sekejap sebab pasangan PJJ sudah tidak boleh rentas negeri bermula 1 Jun jadi dia mahu berjumpa termasuk tiga anak kami berusia dua hingga 11 tahun.
“Walaupun sebentar sahaja, saya faham akan tugasnya itu namun pada 8 Jun lalu suami mula berasa tidak sihat, saya mula tidak sedap hati, katanya” ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Buloh, Air Kuning Selatan, Gemencheh, di sini semalam.
Nor Bainah berkata, pada 13 Jun, keadaan suaminya teruk dan pihak majikan suaminya telah menghubungi ambulans untuk bantuan menghantar suaminya ke hospital.
“Semasa di hospital suami disahkan positif Covid-19 dan keadaannya ketika itu yang masih belum mendapat vaksin sudah kritikal serta berada di tahap empat.
“Saya semakin bimbang apabila panggilan telefon dan WhatsApp sudah tidak lagi berbalas. Pada 19 Jun suami ada menghubungi sebentar dan memaklumkan akan ditidurkan disebabkan keadaannya yang tidak stabil.
“Kira-kira 10 hari suami ditidurkan, saya dimaklumkan dia meninggal dunia dan jenazah selamat dikebumikan dua hari selepas itu di sini,” katanya yang kini bergantung bantuan hasil daripada caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) arwah suaminya. – UTUSAN ONLINE










