Penduduk bantah tuntutan terhadap tapak tanah perkuburan Islam - Utusan Malaysia

Penduduk bantah tuntutan terhadap tapak tanah perkuburan Islam

MUSTAQIM Mustaza (kanan) dan Zool Amali ketika melihat tapak tanah yang telah diwartakan sebagai tanah perkuburan Islam selepas sidang akhbar di Bandar Tasik Senangin, Lenggeng, Seremban hari ini.-UTUSAN/AFIFI HAFIZ MOHD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penduduk di Bandar Tasik Senangin, Lenggeng dekat sini membantah tuntutan terhadap sebidang tanah di kawasan itu yang telah diwartakan sebagai tanah perkuburan Islam sebelum ini.

 

Wakil penduduk, Mustaqim Mustaza, 40, berkata, pihaknya mendapat maklumat terdapat permohonan untuk sebahagian daripada tanah itu dijadikan pula sebagai tanah perkuburan orang bukan Islam.

 

“Tanah ini dengan nombor lot 11621 dengan keluasan 10.05 hektar telah diwartakan sebagai tapak perkuburan Islam pada 26 April 2018 dibawah nombor warta 244.

 

“Bagaimanapun, kami difahamkan sebanyak 0.8 hektar tapak tanah berkenaan dimohon pihak berkenaan untuk dijadikan tapak perkuburan bukan Islam,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

 

Sehubungan itu, dia meminta campur tangan kerajaan negeri agar tanah perkuburan yang telah diwartakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan tersebut tidak diganggu pihak lain.

 

“Mungkin mereka boleh mendapat peruntukan tanah di tempat lain daripada kerajaan negeri jadi kami memohon kebijaksanaan kerajaan negeri dalam menangani masalah ini,” tambahnya.

 

Sementara itu, dia berkata, ketika ini penduduk Islam di kawasan taman perumahan itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Machang Hulu dekat sini. 

 

“Kami di sini, belum ada masjid, jadi, kami di bawah kariah Masjid Sungai Machang Hulu jadi secara tidak langsung kami menumpang di tanah perkuburan mereka,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussein meminta kerajaan negeri lebih sensitif dalam menangani hal berkenaan.

 

“Sebagai penduduk Lenggeng saya turut serta dalam bantahan ini. Tanah sudah diwartakan sebagai tapak perkuburan Islam tetapi kenapa pula nak diambil? itu yang kami persoalkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN