JOHOR BAHRU: Seramai 33 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam serbuan operasi penguatkuasaan membabitkan 10 buah premis di sekitar daerah ini, semalam.
Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, operasi yang bermula pukul 11 pagi itu menumpukan premis perniagaan yang dipercayai menggaji serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Beliau berkata, serbuan dilakukan adalah hasil risikan dan aduan awam berhubung kehadiran warga asing yang dipercayai menyalahgunakan pas serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
“Hasil serbuan di kedai makan, premis cuci kereta, kedai gunting rambut serta rumah kedai yang dijadikan tempat penginapan dan tempat untuk berehat pekerja asing ini, kita berjaya tahan 33 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Mereka terdiri daripada seorang lelaki warga Nepal, empat lelaki Indonesia, empat lelaki warga India, dua lelaki Bangladesh dan 15 lelaki Myanmar. Turut ditahan dua wanita Indonesia dan lima wanita Myanmar yang kesemuanya berusia antara 20 hingga 51 tahun,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.-UTUSAN.









