PETALING JAYA: Rakyat Malaysia sudah mula menyuaikan diri dengan memilih untuk menaiki pengangkutan awam untuk melakukan perjalanan selain mengawal perbelanjaan harian ekoran krisis bekalan tenaga yang sedang dihadapi oleh seluruh dunia.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, tanda penyesuaian gaya hidup sudah mula kelihatan apabila purata penumpang rel pada April lalu meningkatkan kepada 1,085,580 penumpang sehari iaitu peningkatan 7.6 peratus dari bulan sebelum.
Beliau berkata, jumlah individu yang menaiki bas turut meningkat kepada 227,448 penumpang sehari.
Katanya, bagi penggunaan tenaga elektrik pula menunjukkan purata permintaan maksimum bagi tempoh 4 hingga 10 Mei lalu meningkat kecil sebanyak 1.4 peratus kepada 20,097 megawatt (MW) berbanding 19,815 MW pada minggu sebelumnya.
“Perkembangan ini menunjukkan bahawa sebahagian dari kita mula menyesuaikan corak mobiliti dan perbelanjaan harian kepada pilihan yang lebih kos efektif.
“Dalam keadaan kos global tidak menentu, perubahan kecil seperti ini penting untuk mengurangkan beban kos yang ditanggung oleh isi rumah,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) turut membincangkan tekanan yang dihadapi terutamanya peniaga kecil, pengusaha pasar malam atau usahawan mikro yang terhimpit oleh peningkatan kos operasi.
Beliau berkata, kumpulan itu terdedah kepada aliran tunai yang lemah dan kebergantungan kepada satu sumber pendapatan, oleh itu tanpa intervensi, risiko penutupan premis boleh meningkat dengan ketara.
“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan bahawa kadar sewa premis perniagaan yang berada di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berbeza mengikut kategori PBT iaitu bandaraya, perbandaraan dan daerah serta mengikut jenis premis.
“Sebagai contoh, bagi kategori Bandaraya, sewa pasar awam atau borong antara RM30 hingga RM1,600, gerai atau ruang niaga antara RM80 hingga RM600; manakala kompleks atau tapak komersial antara RM200 hingga RM1,600. Kos sewa ini menyumbang tujuh peratus secara purata dan boleh menjangkau sebanyak 58 peratus daripada kos operasi perniagaan,” katanya.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, agensi Persekutuan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) sudah mula melaksanakan pengurangan sewa sebanyak 20 peratus bagi lebih 7,135 lot premis perniagaan mereka di seluruh dunia susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
“Usaha ini turut disambut oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan pengurangan kadar sewa sebanyak 50 peratus bagi tapak penjaja dan premis terpilih, berkuat kuasa 1 April 2026 hingga 31 Disember 2027.
“Inisiatif ini bertujuan meringankan beban kos sara hidup lebih 10,000 peniaga kecil di ibu kota. kerajaan negeri. Selangor juga memberikan respons positif terhadap saranan ini dan dijangka akan mengumumkan butiran rasmi serta peratusan pengurangan dalam masa terdekat,” katanya.
Tambahnya, MTEN menggesa PBT dan kerajaan negeri untuk untuk menyahut usaha mengurangkan kadar sewa premis atau kedai di bawah seliaan masing-masing berkuat kuasa serta merta.
“Usaha ini adalah untuk memastikan peniaga kecil terus berniaga, mengurangkan sedikit beban dan tekanan, pekerja terus mempunyai pendapatan, premis tidak kosong dan ekonomi komuniti terus berjalan,” katanya. – UTUSAN










