SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin memberi pandangan berhubung petempatan penduduk yang dirobohkan untuk memberikan laluan pembinaan landasan keretapi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) khususnya di kawasan Gombak.
Saya bukanlah antipembangunan tetapi pembangunan mampan dan lestari sudah semestinya mesra alam sekitar, mengekal dan mengharmonikan kehidupan manusia, hidupan akuatik, tumbuhan dan sebagainya perlulah memberi kesan minima dan tidak merosakkan.
Walaupun begitu, pembangunan sehingga merobohkan penempatan penduduk yang sudah tinggal berpuluh tahun bahkan beratus tahun, berhabis wang untuk membina dan membesarkan rumah untuk keselesaan, perlulah dinilai semula kewajarannya oleh kerajaan kerana melibatkan rakyat tempatan dan berbangsa Melayu.
Maka, isu perobohan rumah penduduk ini perlulah dilihat dari kaca mata kemanusiaan serta keadilan untuk mempertahankan hak milik walaupun hak untuk mendapatkan tapak rumah sudah dibuat permohonan tetapi tidak berjaya, ditolak dan diberi kepada pihak lain.
Maka, isu kemanusiaan perlulah diberi keutamaan kerana rata-rata penduduk yang terlibat adalah penduduk kampung atau kelas pertengahan yang mana tempat tinggal mereka sudah selesa untuk mencari rezeki di kawasan berdekatan.
Kalau dipindahkan, kemungkinan jarak ke tempat bekerja menjadi jauh dan begitu juga dengan persekolahan akan terganggu akibat perpindahan tersebut.
Selain itu, di sesetengah tempat jajaran ECRL ini terutama di Sungai Sereh dan Sungai Cincin, penduduk telah membuat permohonan untuk mendapat geran tanah tetapi ditolak oleh pejabat daerah.
Yang menjadi persoalannya mengapa permohonan ditolak sehinggalah penduduk tinggal di kawasan tanah haram dan apabila penduduk tiada hak milik, maka mudahlah mereka diarah berpindah dan rumah diroboh.
Tidakah ini satu penganiayaan dan pengabaian terhadap rakyat yang perlukan hak milik petempatan atau geran tanah? – UTUSAN
PEMBANGUNAN MAMPAN
Temerloh, Pahang.










