Pelajar mula terima suntikan vaksin - Utusan Malaysia

Pelajar mula terima suntikan vaksin

PASANGAN kembar, dari kanan, Nur Aina Dayana Mohd. Akmal dan Nur Aida Dayana Mohd. Akmal bersama sepasang lagi kembar, Wan Anis Farhana Zainol Abidin dan Wan Anis Farhani Zainol Abidin selepas menerima suntikan vaksin dos pertama pada program vaksin untuk remaja/pelajar di PPV Dewan Tunku Putra Kuala Nerang, Padang Terap hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Kalangan pelajar tingkatan empat dan lima di negeri ini teruja apabila menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Tunku Putra di sini hari ini.

Rata-rata pelajar ditemui memberitahu mereka tidak sabar lagi untuk ke sekolah bagi mengikuti pengajian bersemuka.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Syed Ahmad, Nur Nazatul Shima Malik,17, berkata, dia dimaklumkan oleh pihak sekolah mengenai program suntikan vaksin itu sejak kira-kira seminggu lalu.

“Saya teruja untuk disuntik hari ini kerana akan rasa lebih selamat untuk masuk sekolah semula jika dibuka nanti,” katanya ketika ditemui di PPV Dewan Tunku Putra di sini hari ini.

Ibunya, Umi Kalsom Mustab, 36, pula berkata, dia menyambut baik program suntikan kepada remaja khususnya pelajar sekolah.

“Diharapkan suntikan yang diterima ini dapat mempercepatkan pembukaan semula sekolah kerana saya memahami kesukaran anak untuk belajar secara dalam talian berbanding bersemuka tambahan selain anak juga bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” ujarnya.

Pasangan kembar, Nur Aina Dayana Mohd. Akmal, 16, dan Nur Aida Dayana dari SMK Datuk Syed Ahmad berkata, mereka bangun awal kerana gementar untuk menerima suntikan vaksin.

Menurut Nur Aina, pada awalnya mereka berasa takut tetapi lega apabila tidak rasa sakit ketika menerima suntikan jenis Pfizer itu dan berharap tiada kesan sampingan yang teruk.

“Kami juga harap dapat masuk sekolah segera supaya lebih bersemangat untuk belajar dengan rakan-rakan yang lain tanpa ada rasa bimbang kerana sudah divaksin,” kata.

Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah Padang Terap (Pentadbiran dan Kewangan), Abd. Rahim Abu Bakar berkata, seramai 777 remaja berusia 16 dan 17 tahun menerima suntikan vaksin pada semalam.

“Program suntikan vaksin ini akan diadakan selama tiga hari bermula hari ini dan dianggarkan seramai 2,151 remaja terdiri daripada pelajar di 12 buah sekolah di daerah ini akan disuntik.

“Kami juga menerima remaja yang tidak bersekolah dan di luar daerah secara datang terus (walk-in) bermula pukul 3.30 petang tertakluk kepada lebihan vaksin yang ada pada hari tersebut,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya