PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung kebocoran data peribadi awam yang didakwa berlaku di Jabatan Pendaftaran Negara ( JPN).
Ini susulan satu laporan diterima pihak polis dibuat oleh Timbalan Pengarah JPN di Balai Polis Percint 7, Putrajaya pada 27 September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan hari ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 bagi menyiasat lanjut serta mengesahkan sama ada berlaku penggodaman atau tidak.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan penglibatan orang dalam berhubung insiden pembocoran dan penjualan data tersebut seperti tular dalam media sosial akhir-akhir ini.
“Kita akan siasat sistem JPN dan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenal pasti di mana kebocoran data awam itu berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Jinjang hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Kamarudin berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan pasukan bahagian Teknologi Maklumat JPN selain melakukan perbincangan bagi mengenal pasti punca kebocoran data.
Ujarnya, satu pasukan akan diwujudkan untuk menyiasat jenayah siber tersebut melibatkan data peribadi awam JPN .
“Kita akan mendapatkan kerjasama daripada semua pihak antaranya Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
“Kita buat tindakan awal akan menyekat segera penjualan data peribadi daripada terus berlaku memandangkan ia adalah data kita semua untuk mengelak keadaan bertambah teruk.
“Pada masa yang sama, kerjasama NACSA sangat diperlukan untuk JSJK supaya sama-sama membantu untuk mencari jalan dan mengenal pasti sistem terbaik untuk memperketatkan lagi kawalan sistem pengkalan data supaya tidak mudah ditembus dan digodam,” ujarnya.
Tambah Mohd. Kamaruddin, pihaknya belum mengenal pasti sebarang suspek awal dalam kes tersebut.
“Siasatan akan mengambil sedikit masa lagi dan kita memulakan siasatan, semua boleh menjadi suspek dan kita tidak boleh menafikan penglibatan orang dalam,” ujar beliau.
Terdahulu, sebuah Forum Perbincangan Digital lowyat.net mengeluarkan maklumat kononnya pengkalan data JPN ketika ini tersenarai untuk dijual dalam forum pasaran pangkalan data terkemuka dengan harga kira-kita RM35,500 yang merangkumi empat juta data peribadi awam rakyat Malaysia yang lahir dari tahun 1979 hingga tahun 1998.
Penjual itu turut mendakwa pangkalan data tersebut mempunyai empat juta data pengguna awam yang diperoleh dari laman web LHDN menerusi Application Programming Interfaces (API) yang diwujudkan untuk sistem myIdentity. -UTUSAN ONLINE