KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming boleh diangkat sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang dibawa kerajaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Prof Dr. Azmi Hassan berkata, peluang yang diberi kepada Kor Ming akan menunjukkan kerjasama dengan semua pihak tanpa kira kerajaan dan pembangkang.
“Jika diambil konsep Keluarga Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kalau diterjemah, ‘saya Perdana Menteri untuk semua orang dan bukan kepada yang menyokong saya sahaja’, pembangkang juga seharusnya diberikan jawatan Timbalan Speaker.
“Calon daripada pembangkang adalah Kor Ming, ia dikatakan menggambarkan bahawa Parlimen sebagai salah satu entiti penting kepada demokrasi negara. Ia dikatakan merangkumi kerjasama semua pihak,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Pakatan Harapan (PH) menamakan Kor Ming sebagai calon mereka untuk mengisi kekosongan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Kor Ming mengesahkan perkara itu dengan menjelaskan beliau adalah calon tunggal dinamakan pihak pembangkang.
Dalam masa yang sama, Datuk Seri Ahmad Maslan dikatakan telah bersetuju dicalonkan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan.
Bagaimanapun jelas Azmi, naratif di kebanyakan negara akan melantik Speaker dan Timbalan Speaker yang berpihak kepada kerajaan supaya perjalanan aturan mesyuarat mengikut apa yang telah ditetapkan kerajaan.
“UMNO sebagai tunjang parti kerajaan ketika ini berhak suarakan cadangan mereka kerana sebelum ini pun Azalina menjadi Timbalan Speaker. Teorinya, UMNO perlu diberi ruang untuk mencadangkan dan menjadi calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
“Tetapi harus diingat Speaker dan Timbalan Speaker memainkan peranan penting perjalanan dalam Parlimen. Kelazimannya kerajan yang menang kerana memiliki majoriti,” ujarnya lagi. -UTUSAN










