Nenek ambil tanggungjawab jaga tiga cucu yatim piatu - Utusan Malaysia

Nenek ambil tanggungjawab jaga tiga cucu yatim piatu

INTAN Kurus (kanan) bersama anaknya, Muhammad Norhisham (dua dari kanan) kini mengambil tanggungjawab menjaga tiga beradik yang menjadi yatim piatu selepas ibu mereka terlibat kemalangan ketika ke tempat kerja di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: “Jika Tuhan hendak ambil nyawa mak cik biarlah ketika cucu-cucu mak cik ini sudah pandai berdikari,” luah seorang nenek kepada tiga beradik yatim piatu.

 

Intan Kurus, 61, berkata, anak perempuannya, Allahyarham Rosayu Ramli, 38, yang bekerja di bahagian pembersihan di Hospital Kota Tinggi meninggal dunia selepas terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya awal bulan ini.

 

Maka, Intan kini mengambil alih tanggungjawab ke atas cucunya, Muhammad Nor Yusuf Abdullah, 15, Muhammad Haikal, 10, dan Siti Nur Hijrah, 7, selepas mereka kini tiada tempat bergantung.

 

“Bapa mereka meninggal dunia tiga tahun lepas. Jadi saya kena kuat untuk menjaga mereka. Saya selalu berpesan kepada cucu agar sentiasa sayang diri sendiri serta jangan mudah merajuk.

 

“Saya kata, walaupun emak sudah tiada, satu hari nanti akan jumpa ‘di sana’. Allah nak uji bukan sahaja cucu tapi menguji mak cik juga,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah sewa Rosayu di Kampung Kelantan, di sini hari ini.

 

Menurut Intan, buat masa ini duit diberikan anak sulungnya yang bekerja di Singapura digunakan untuk menyara tiga beradik itu, selain dibantu seorang lagi anaknya, Muhammad Norhisham Ramli, 26.

 

Sementara itu, bagi Muhammad Norhisham, dia sudah terbiasa menjaga tiga anak buahnya itu kerana sebelum ini sering membantu arwah kakaknya ketika keluar bekerja.

 

Katanya, adik beradik lain juga banyak membantu dari segi kewangan dan juga pembelajaran ketiga-tiga anak saudaranya itu.

 

“Buat masa ini saya dan mak tinggal bersama mereka, tambahan pula mereka bersekolah di sini. Soal duit abang sulung yang bantu, manakala hal sekolah adik bongsu bantu.

 

“Tugas saya menguruskan mak dan mereka di rumah. Saya tidak rasa terbeban, bahkan rasa amat beruntung kerana pada usia ini saya masih mempunyai ibu bapa sedangkan mereka tiada kedua-duanya,” katanya.

 

Orang ramai yang mahu menyumbang buat tiga beradik tersebut boleh salurkan ke akaun Public Bank 6850829906 atas nama bapa saudara mereka, Mohamad Norazam Ramli. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN