LANGKAWI: Majlis Pemulihan Negara (MPN) yakin jumlah pelancong yang berkunjung ke Langkawi akan meningkat lebih tinggi dalam masa terdekat apabila projek rintis gelembung pelancongan mencapai kejayaan.
Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada peringkat awal banyak perkara dalam projek rintis itu yang perlu diperhalusi dan diperkemaskan.
Menururnya, semuanya akan berjalan lancar sekiranya keyakinan pelancong dan pengusaha industri pelancongan semakin meningkat terhadap projek rintis tersebut.
“Saya jangka bila mana ‘level of confidence’ di kalangan pengusaha meningkat dan kemudahan yang disediakan kembali boleh digunakan pelancong-pelancong, apa lagi penerbangan dari luar negara dibolehkan masuk ke sini maka peratusan atau kadar (kedatangan pelancong) yang dijangka awal boleh berubah.
“Saya harap lebih besar daripada itu kerana di Langkawi kapasiti 12,000 bilik, Insyallah lebih lagi banyak hotel baharu akan dibina bila keadaan bertambah baik lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri sesi dialog bersama pengusaha hotel, homestay, kereta sewa dan pemandu teksi Langkawi di sini hari ini.
Hari ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, seramai 30,000 pelancong dijangka mengunjungi pulau ini bermula hari ini hingga 30 September ini sahaja.
Menurutnya, jumlah pelancong yang berkunjung ke Langkawi sehingga hujung tahun ini pula boleh mencecah seramai 200,000 orang.
Selain itu, Muhyiddin menambah, beliau menjangkakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) terutama berkaitan rentas negeri apabila negara mencapai tahap imuniti kelompok yang ditetapkan dan lebih banyak negeri beralih kepada Fasa Dua atau Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara nanti.
Menurutnya, apabila itu berlaku rakyat akan dibenarkan menjalankan lebih banyak aktiviti bukan hanya dalam sektor pelancongan tetapi juga perniagaan, pengangkutan dan perkilangan.
“Pada Oktober ini lebih banyak negeri akan beralih kepada Fasa Dua atau Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara nanti dan ini satu perkembangan yang baik
“Apa yang penting, kita hendak lihat proses pemulihan kita itu cepat, kita tidak boleh tangguh kerana kita telah menanggung kos yang terlalu mahal dalam tempoh setahun yang lepas disebabkan oleh pandemik,” katanya.
Habis










