ALOR GAJAH: Pengguna dan peniaga di negeri ini melahirkan kebimbangan susulan kekurangan dan kesukaran mendapatkan minyak masak peket bersubsidi di pasaran, sejak kebelakangan ini.
Perbezaan harga minyak masak peket dengan botol yang terlalu ketara menyebabkan kebergantungan terhadapnya semakin tinggi, selepas rakyat dihimpit dengan masalah ekonomi dan penurunan kuasa membeli gara-gara pandemik Covid-19.
Harga jualan satu peket minyak masak adalah RM2.50 sekilogram (kg), sementara harga maksimum minyak masak botol bersaiz sama adalah RM6.70; 2kg (RM12.70); 3kg (RM18.70) dan 5kg (RM29.70).
Kekurangan bekalan itu diakui oleh peniaga yang meluahkan kekecewaan kerana pemborong tidak dapat menyediakan bekalan seperti diminta.
Seorang peniaga, Nur Fatin Kamarudin, 30, berkata, masalah kekurangan bekalan minyak masak peket sudah berlarutan sejak awal tahun ini.
Menurutnya, stok tidak mencukupi antara alasan yang kerap diberikan pemborong, namun tidak menjelaskannya secara terperinci.
“Mereka (pembekal) kata tiada stok sebab perlu diagihkan kepada peniaga-peniaga lain. Baru-baru ini saya pesan 30 karton minyak masak peket tetapi dapat lapan karton saja.
“Tahun lepas tidak berlaku masalah seperti ini kerana setiap pesanan akan dipenuhi. Saya bimbang pelanggan akan lari jika masalah ini berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tinjauan akhbar ini di 10 kedai runcit sekitar Kuala Sungai Baru dan Masjid Tanah mendapati, tujuh daripadanya masih mempunyai bekalan, namun dalam kuantiti yang terhad.
Sementara itu, seorang pekerja kedai runcit, Topan Murbayana, 45, berkata, dia terpaksa meletakkan minyak masak berkenaan di bawah kaunter bayaran bagi menghadkan pembelian setiap pelanggan.
Katanya, empat karton minyak masak boleh habis dijual dalam tempoh tidak sampai seminggu kerana permintaannya yang sangat tinggi.
“Sukar untuk saya penuhi permintaan pelanggan gara-gara bekalan yang diterima tidak sama seperti yang dipesan. Pemborong tidak dapat penuhi pesanan meskipun dalam kuantiti yang sedikit.
“Saya minta 10 karton tetapi pemborong hanya hantar empat karton sahaja dan masalah ini berlaku sejak Julai sehingga sekarang. Ada pelanggan memberitahu saya terdapat kedai lain yang menghadkan belian satu pek untuk setiap pelanggan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar ketika dihubungi memaklumkan, setakat ini tiada aduan diterima pihaknya berhubung kekurangan minyak masak peket di pasaran.
Katanya, pihaknya tidak masuk campur atau mengenakan had tertentu kepada pemborong berkenaan jumlah yang perlu diberikan kepada peniaga.
“Terpulang kepada pemborong berapa kuantiti hendak beri. Peniaga yang mendapat kurang daripada jumlah pesanan mungkin memiliki sejarah kredit yang tidak sihat dengan pemborong.
“Selain itu, pemborong juga perlu memenuhi pesanan daripada peniaga-peniaga lain. Ketika ini minyak masak peket memang banyak di pasaran dan tiada aduan kenaikan harga selepas penetapan harga maksimum baru-baru ini,” katanya ketika diminta mengulas. -UTUSAN ONLINE










