PETALING JAYA: Penyanyi kesayangan ramai, Aishah, 56, mengesahkan tahap kesihatannya kini berada dalam keadaan stabil.
Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin yang sudah dibenarkan pulang ke rumah bagaimanapun mengakui badannya masih lemah dan belum mampu aktif seperti biasa.
“Alhamdulillah, sekarang saya sudah berada di rumah. Walaupun sudah rasa okey, badan masih tak berapa kuat.
“Masih terasa penat, lebih-lebih lagi ketika turun naik tangga. Kalau berdiri lama pun saya akan rasa penat.
“Jadi, saya akan cepat-cepat baring dan rehatkan diri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Penyanyi lagu Camar Yang Pulang ini disahkan positif Covid-19 sekitar hujung Ogos lalu.
Dia dikejarkan ke hospital selepas mengalami penurunan kadar oksigen dalam badan secara mendadak.
Selain itu, Aishah juga disahkan mengalami jangkitan kuman dan perlu mengambil antibiotik untuk sembuh.
Bercakap soal jangkitan tersebut, Aishah memberitahu, dia sudah menghabiskan dos pertama pengambilan antibiotik dan perlu mendapatkan rehat secukupnya sebelum janji temu doktor yang dijadualkan sekitar November depan.
“Saya hanya akan dibenarkan untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19 selepas janji temu itu nanti. Buat masa ini memang tidak dibenarkan ambil vaksin.
“Doktor setakat ini tidak memberitahu sama ada saya hanya boleh mengambil vaksin tertentu. Mungkin akan dimaklumkan nanti,” jelasnya. -UTUSAN










