SEPANG: Mangsa gangguan seksual digesa terus membuat laporan kepada pihak berkuasa tanpa menunggu Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan gangguan seksual diluluskan di Parlimen.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, RUU tersebut perlu melalui pelbagai proses dan kini di peringkat akhir bagi penelitian Jabatan Peguam Negara.
“Kita ada akta sedia ada kerana RUU ini adalah RUU baharu, bukan yang dipinda. Jika ada mangsa mendapat gangguan seksual, sudah pasti aduan boleh terus dibuat, bukan kena tunggu RUU ada dulu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Penyampaian Penerima Bantuan Prihatin Negara di sekitar Sungai Pelek di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas gesaan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) terhadap KPWKM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menggerakkan pembentangan RUU berkaitan jenayah gangguan seksual di Dewan Rakyat secepat mungkin.
KMUM dalam satu kenyataan berkata, kesatuan mengambil maklum bahawa Menteri KPWKM telah memaklumkan akan membentangkan Rang Undang-Undang berkenaan pada tahun 2020 tetapi sehingga kini masih tiada perkembangan mengenainya.
Dalam masa sama, Rina memberi jaminan mempercepatkan proses pembentangan RUU berkenaan bersama pihak KPT.
“Negara kita ada undang-undang sedia ada. Apabila siap nanti (RUU) kita tunggu,” katanya sambil memberitahu, aduan boleh dibuat terus ke balai polis dan talian kasih 15999 di bawah KPWKM.
Tambahnya, apa yang penting adalah dari segi kesedaran dan kepekaan masyarakat terhadap jenayah seksual menerusi advokasi secara berterusan.
Isu gangguan seksual menimbulkan polemik apabila terdapat kelompongan dalam perundangan negara yang sehingga kini masih tiada akta khusus berkaitan gangguan seksual walaupun sudah lebih 20 tahun ia diperjuangkan.
RUU berkaitan gangguan seksual sepatutnya siap pada Mac lepas sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat, namun masih tertangguh berikutan penangguhan persidangan Parlimen. -UTUSAN ONLINE