Malaysia, Australia jalin kerjasama strategik pembangunan sumber manusia - Utusan Malaysia

Malaysia, Australia jalin kerjasama strategik pembangunan sumber manusia

KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Australia akan menjalinkan kerjasama strategik dalam pembangunan sumber manusia dan modal insan yang menyentuh aspek Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET).

Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi kenyataan akhbar berkata, kerjasama tersebut juga meliputi pembangunan kemahiran melalui peningkatan kemahiran dan latihan kemahiran semula (upskilling & reskilling). 

Menurutnya, keputusan itu dicapai semasa kunjungan hormat delegasi Pesuruhjaya Tinggi Australia, Dr. Justin Lee ketika bertemu Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan selepas beliau dilantik semula membarisi Kabinet baharu, 1 September lalu.

“Perkara ini diberi keutamaan bagi mencapai sasaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 iaitu sebanyak 35 peratus guna tenaga mahir menjelang tahun 2030,” katanya di sini hari ini. 

KSM berkata, perbincangan turut menyentuh isu berhubung visa pertanian yang diumumkan oleh Australia baru-baru ini melalui Farm Labour Visa Scheme.

“Skim tersebut memberi peluang pekerjaan kepada migran dalam sektor pertanian berikutan ketiadaan sambutan daripada pekerja tempatan di Australia. 

“Perkara yang sama turut berlaku di Malaysia dalam sektor perladangan di mana kerajaan sedang mengkaji amalan baik dari pelbagai negara termasuk Australia,” ujarnya.

Sementara itu, turut dibincangkan adalah cadangan kerjasama untuk meningkatkan imej negara dalam menangani aspek buruh paksa di mana KSM adalah merupakan Pengerusi kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Pemerdagangan Buruh di bawah Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO). 

“Australia juga turut menyuarakan hasrat untuk meningkatkan pelaburan di negara Malaysia dalam sektor industri berteknologi tinggi seperti sektor tenaga diperbaharui (renewable energy) di mana kepakaran dan kemahiran tempatan di bidang-bidang yang berkaitan dengan teknologi tinggi amat diperlukan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN