Komando putus kaki dalam Op Gubir 2 - Utusan Malaysia

Komando putus kaki dalam Op Gubir 2

HUSSIN Mahbeb menunjukkan pergelangan kaki kirinya yang putus selepas terpijak jerangkap samar di kediamannya di Sungai Udang, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Peristiwa hitam terpijak jerangkap samar dan berdepan tembakan bertali arus pihak musuh antara pengalaman yang masih segar dalam ingatan bekas komando, Hussin Mahbeb, 72.

Katanya, kejadian berlaku semasa dia mengikuti Op Gubir 2 pada 1976 di sempadan Malaysia-Thailand bagi menggempur kubu komunis dan operasi itu adalah yang terbesar serta paling berisiko pernah disertainya.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, bekas anggota Rejimen Gerak Khas (RGK) Kem Sungai Udang itu berkata, pada awalnya dia merancang bersiar-siar bersama keluarga, tetapi terpaksa membatalkan hasrat berkenaan setelah mendapat panggilan bertugas secara mengejut.

“Perjalanan ke kubu musuh sangat mencabar kerana terdapat beribu jerangkap samar. Pegawai juga sudah mengingatkan setiap anggota agar sentiasa berwaspada, kerana tersilap langkah boleh kehilangan nyawa.

“Setibanya di kawasan operasi, saya lihat ada kemusnahan pokok kerana bedilan oleh pasukan udara. Di kawasan bukit pula kelihatan kem komunis yang besar dan lengkap dengan terowong serta pelbagai kemudahan seperti klinik, doktor dan gelanggang rekreasi.

“Ketika memeriksa salah satu terowong, saya terdengar bunyi letupan kerana seorang rakan terpijak jerangkap samar. Saya bergegas hendak menolong tetapi malang tidak berbau, saya juga menerima nasib sama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Udang di sini.

Tambah Hussin, dia melambung setinggi beberapa meter ke udara akibat impak letupan tersebut tetapi masih sedarkan diri dan mampu melihat dengan jelas jari kakinya yang hancur.

Katanya, rakan-rakan memberi bantuan awal dan mereka membawanya keluar untuk menunggu helikopter, tetapi tanpa disangka tempat untuk dia berehat dipasang jerangkap samar.

“Nasib saya baik apabila rakan sempat menolak ke tepi tetapi dia pula yang kehilangan pergelangan tangan. Saya juga terselamat daripada maut apabila tembakan musuh dari segenap arah ke arah helikopter tersasar.

“Saya dihantar ke Hospital Alor Setar untuk mendapatkan rawatan lanjut dan pergelangan kaki kiri saya terpaksa dipotong kerana cedera parah.

“Selepas itu saya dipindahkan ke Hospital Sungai Udang dan terlantar lebih setahun,” jelasnya yang menyertai tentera pada 21 April 1970.

Bagaimanapun, semangat bapa kepada enam cahaya mata itu tidak pernah luntur untuk berbakti kepada negara, meskipun keadaan fizikalnya tidak sama seperti dahulu.

Ujarnya, terbit rasa kecewa dan sedih dalam diri kerana tidak lagi dapat mengikuti operasi dan berjuang bersama rakan-rakan di hutan.

“Saya menganggap ini suratan takdir. Sebagai tentera, kita harus bersedia dalam apa jua keadaan dan paling penting mesti ada jiwa perjuangan dalam diri, tidak mudah mengalah,” katanya yang berkhidmat selama 22 tahun dalam pasukan.

Keberanian Hussin yang bersara pada 1992 dengan pangkat Pegawai Waran 2 mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan pingat Bentara Angkatan Tentera (BAT) oleh Istana Negara pada 1980 selain Kurnia Perutusan Keberanian (KPK) dan Pingat Jasa Malaysia (PJM). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN