ALOR SETAR: Sebuah farmasi di pusat bandar ini dikenakan notis amaran apabila didapati menjual kit ujian pantas antigen Covid-19 pada harga RM39.90 seunit melepasi harga runcit maksimum RM19.90 yang ditetapkan sejak Ahad lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Rae Morn Verak berkata, farmasi tersebut dipercayai menjual kit ujian kendiri pada harga tinggi dalam pemeriksaan yang dilakukan hari ini.
Katanya, pihaknya kemudian mengarahkan farmasi berkenaan menyelaraskan harga kit ujian kendiri itu pada harga runcit maksimum RM19.90 bagi setiap set serta harga borong maksimum RM16.
“Difahamkan set ujian kendiri Covid-19 itu adalah stok lama dan farmasi tersebut perlu menyelaraskan harga serta berbincang semula dengan pembekal untuk mendapatkan harga seperti ditetapkan.
“Peniaga dan pengusaha farmasi diberikan tempoh seminggu sehingga 12 September ini untuk membuat penyelarasan harga dari tempoh harga siling kit ujian kendiri berkuat kuasa pada 5 September lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemantauan di beberapa farmasi di Simpang Kuala di sini hari ini.
Rae Morn berkata, hasil pemeriksaan selama 25 hari sejak 15 Ogos hingga kelmarin ke atas 180 farmasi di negeri ini mendapati majoriti premis menjual kit ujian kendiri terbabit pada harga kawalan ditetapkan.
“Melalui pemeriksaan dilakukan, ada farmasi di negeri ini dikesan menjual produk itu pada harga lebih rendah sekali gus mampu menjual sehingga 500 set kit ujian pantas sehari kepada pengguna, syarikat dan kilang,” katanya.
Tambahnya, pihaknya akan mengadakan pemantauan dan pemeriksaan berterusan dari semasa ke semasa di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bagi mengelakkan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 pada harga tidak terkawal.
“Peniaga yang gagal mematuhi peraturan yang boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau keduanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi individu.
“Syarikat pula boleh berdepan hukuman denda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000 sekiranya didapati melakukan kesalahan menjual melebihi harga maksimum,” katanya. -UTUSAN ONLINE










