Kerajaan sedia jaminan biaya perniagaan RM5b, antara 3 langkah segera bantu PMKS

Kerajaan sedia jaminan biaya perniagaan RM5b, antara 3 langkah segera bantu PMKS

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan tiga langkah segera bagi menyokong perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terjejas susulan krisis tenaga global yang menekan kos operasi dan mengganggu rantaian bekalan.

Antara tiga langkah itu ialah penyediaan jaminan sebanyak RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi meringankan tekanan kos dan memastikan kelangsungan perniagaan.

Selain itu, kelonggaran e-invois diberikan bagi tempoh peralihan tambahan untuk perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta.

Ini termasuk kebenaran mengeluarkan e-invois disatukan dan tanpa penalti dalam tempoh tersebut.

Selain itu, kerajaan memberikan  pertimbangan secara interim terhadap pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang tidak dapat melengkapkan proses eksport susulan gangguan konflik, sehingga 31 Disember 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini, skim SJPP terus menjadi antara instrumen utama kerajaan dalam menyokong kelangsungan PMKS, dengan lebih 50,000 PMKS telah dibantu melalui jaminan pembiayaan melebihi RM50 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Menerusi jaminan SJPP terbaharu sebanyak RM5 bilion itu, kerajaan menyokong sektor yang terjejas terutama pembinaan, pertanian dan agri-makanan, logistik dan pengangkutan, serta pelancongan.

“Jaminan bagi sektor yang terkesan ini ditambah baik berbanding skim SJPP biasa melalui liputan pembiayaan sehingga 80 peratus (biasa 70 pratus) dan tempoh jaminan sehingga 10 tahun (biasa tujuh tahun).

“SJPP juga akan bekerjasama dengan pihak bank untuk memudah cara penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman SJPP serta bantuan bayaran balik secara bersasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri meneruskan sesi libat urus bersama PMKS Cina dan India selepas sesi sama diadakan bersama PKS bumiputera bagi mendapatkan gambaran langsung cabaran di lapangan supaya tiada segmen ekonomi dipinggirkan dan setiap suara didengar serta dibantu secara bersasar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan terus memantau dan mengkaji keperluan untuk memudah cara layanan cukai bagi perniagaan yang terkesan daripada konflik Asia Barat.

Beliau menegaskan, dalam menghadapi tekanan global yang berpanjangan, kerajaan akan terus bertindak proaktif bagi memastikan ekosistem perniagaan kekal berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan.

“Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi kewangan, pemain industri dan para usahawan agar setiap langkah yang diambil benar-benar membantu mengekalkan operasi perniagaan serta melindungi pekerjaan rakyat.

“Ini bukan situasi sementara; kita perlu bersedia untuk perubahan yang berperingkat dan berpanjangan,” katanya.

Kata Anwar, dalam keadaan tekanan global yang kian meruncing, kerajaan tidak berlengah sebaliknya setiap tindakan segera digerakkan berpandu maklum balas secara terus daripada pemain industri, bagi memastikan setiap langkah diambil benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN