ALOR SETAR: Penggunaan katil yang tinggi dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) di Kedah masih menjadi satu-satunya penghalang kepada negeri ini untuk beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, indikator tersebut merupakan perkara yang masih belum tercapai setelah negeri ini berjaya mencatat kadar vaksinasi mencukupi untuk beralih ke fasa 2.
Kebiasaannya, kata beliau, kes-kes yang dimasukkan ke ICU memerlukan tempoh yang panjang untuk pulih menyebabkan tahap penggunaan katil kekal tinggi untuk tempoh agak lama.
“Biasanya pesakit Covid-19 yang berada di ICU perlu dirawat antara tiga minggu hingga sebulan. Sebab itu, kadar penurunan penggunaan katil ICU juga agak lambat.
“Insya-Allah kita akan cari jalan untuk menangani keadaan itu. Malah perkara itu merupakan antara yang akan dibincangkan bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin apabila beliau turun ke Kedah, Ahad ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menerusi maklumat dipaparkan dalam laman web Kementerian Kesihatan, jumlah penggunaan katil ICU di Kedah mencecah hingga 105 peratus semalam dengan katil bukan ICU pula sebanyak 67 peratus.
Selain itu kadar vaksinasi untuk mereka yang telah mendapat satu dos vaksin sudah mencecah 82.6 peratus semalam manakala golongan yang lengkap divaksinasi pula mencapai kadar 58.5 peratus.
Sementara itu Hayati memaklumkan, beliau kini disahkan bebas daripada Covid-19 setelah disahkan positif pada selepas menjalankan misi bantuan dan kemanusiaan di kawasan tragedi aliran debris di Gunung Jerai, Yan, bulan lalu.
Katanya, beliau bersyukur kerana tidak mengalami simptom yang teruk dan hanya dijangkiti selepas selesai menerima suntikan dua dos vaksin sebelum ini.
“Alhamdulillah, suntikan vaksin itu membantu dalam saya berdepan penyakit ini. Saya hanya menjalani kuarantin di rumah dan pada Rabu lepas, saya sudah pun memotong gelang merah jambu yang dipakai selama ini.
“Tadi pun saya ada menjalani satu lagi ujian saringan sebagai persediaan untuk Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang akan bermula pada 20 September depan,” katanya. -UTUSAN










