Kapal tangki Marshall Islands ditahan berlabuh tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Kapal tangki Marshall Islands ditahan berlabuh tanpa kebenaran

KAPAL tangki dari Marshall Islands, Oceania ditahan kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran di kedudukan 27.5 batu nautika barat daya Sekinchan, Selangor petang kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELABUHAN KLANG :  Sebuah kapal tangki yang berdaftar di Marshall Islands, Oceania ditahan kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran di kedudukan 27.5 batu nautika barat daya Sekinchan, dekat sini petang kelmarin.

Kapal yang dalam perjalanan dari Singapura itu membawa 24 kru lelaki termasuk nakhoda berusia antara 18 hingga 60 tahun terdiri daripada warga Greece, Romania dan Filipina.

Bagaimanapun, kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd. Rosli Kassim berkata, penahanan kapal tangki ‘NISSOS TINOS’ ini berikutan pengesanan visual melalui Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) dan disalurkan kepada bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Benteng Laut dan Op Ehsan untuk diperiksa.

“Kapal tersebut dalam perjalanan dari Singapura dan singgah berlabuh tanpa kebenaran di perairan Malaysia bagi menunggu arahan tugas seterusnya dari pihak syarikat.

“Siasatan lanjut mendapati nakhoda kapal tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan

Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia serta gagal memaklumkan ketibaan kepada Ketua

Pengarah Jabatan Laut Malaysia di bawah Seksyen 449 Ordinan yang sama,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Mohd. Rosli, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua  tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 dibaca bersama Kaedah 10(1) Peraturan Pelabuhan.

Ujarnya, perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan dua kru kapal tersebut turut dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

“Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya di Perairan Selangor. 

“Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh dan mengikut peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia,” katanya lagi.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai aduan dan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 yang beroperasi secara 24 jam atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN