India nekad sekat aliran air ke Pakistan

India nekad sekat aliran air ke Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: India berikrar memastikan tiada lagi aliran air ke Pakistan selepas menggantung Perjanjian Air Indus (IWT), sekali gus meningkatkan ketegangan antara dua negara jiran itu.

Menteri Sumber Air India, C.R. Patil, berkata kerajaan sedang mengambil langkah untuk memastikan ‘tiada setitik air akan mengalir ke Pakistan’ dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Menurutnya, usaha tersebut sedang dilaksanakan secara aktif susulan arahan Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Sebelum ini, Pakistan memberi amaran sebarang cubaan mengubah aliran sungai rentas sempadan akan dianggap sebagai ‘tindakan perang’ dan menegaskan Perjanjian Air Indus 1960 masih sah kerana tiada peruntukan yang membolehkan mana-mana pihak menarik diri secara unilateral.

Perjanjian itu mengawal penggunaan air daripada enam sungai utama yang berpunca di India sebelum mengalir ke Pakistan melalui lembangan Sungai Indus, sumber air penting yang menyokong kehidupan ratusan juta penduduk.

Sungai Indus turut merentasi wilayah Kashmir yang menjadi pertikaian antara India dan Pakistan, menjadikan isu pengurusan air antara kedua-dua negara itu amat sensitif dari segi politik dan keselamatan.

Pada Mei 2025 India mengumumkan menggantung penyertaannya dalam Perjanjian Air Indus selepas menuduh Islamabad menyokong serangan maut ke atas pelancong di wilayah Kashmir yang ditadbir India, dakwaan yang dinafikan Pakistan.

Kedua-dua negara jiran yang memiliki senjata nuklear itu kemudian terlibat dalam konflik selama empat hari yang menyaksikan pertukaran serangan dron, peluru berpandu dan artileri secara intensif, mengorbankan hampir 70 orang di kedua-dua belah pihak.

Sejak itu, isu air terus menjadi antara pertikaian utama yang merenggangkan hubungan India dan Pakistan.

Awal bulan ini, Pakistan menuduh India cuba ‘menjadikan air sebagai senjata’ selepas New Delhi mengumumkan dua inisiatif di bahagian Sungai Chenab yang berada di bawah kawalannya.

Mei lalu, Perbadanan Hidroelektrik Kebangsaan India (NHPC) milik kerajaan mengeluarkan notis tender bagi projek pembinaan terowong yang dicadangkan untuk memindahkan air dari Sungai Chenab ke Lembangan Sungai Beas.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN