Aniaya kucing, polis rujuk kertas siasatan kepada TPR - Utusan Malaysia

Aniaya kucing, polis rujuk kertas siasatan kepada TPR

TANGKAP layar video yang memaparkan pekerja sebuah restoran memasukkan seekor kucing di dalam guni di sebuah restoran di Taman Melor, Teluk Intan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Kertas siasatan berhubung kes tular penganiayaan terhadap seekor kucing oleh pekerja sebuah restoran di Taman Melor di sini, akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, kertas siasatan kini sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada TPR bagi tindakan lanjut.

Menurut beliau, setakat ini dua saksi telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Saksi berkenaan ialah individu yang tular dalam video dan pemilik premis berkenaan.

“Tiada tangkapan dibuat setakat ini memandangkan kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes tidak boleh tangkap,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi satu minit 32 saat yang memaparkan tindakan seorang lelaki yang dipercayai pekerja sebuah restoran, memasukkan seekor kucing ke dalam guni.

Perbuatan lelaki itu mendapat kecaman ramai yang rata-rata menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk penganiayaan terhadap haiwan.

Sehubungan itu, satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 kerana dipercayai melakukan penganiayaan terhadap haiwan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN