IEN jadi platform peniaga ceburi industri francais - Utusan Malaysia

IEN jadi platform peniaga ceburi industri francais

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP) mengajak golongan usahawan di negara ini memanfaatkan platform seperti disediakan International Entrepreneur Network (IEN) untuk meluaskan produk jualan yang berpotensi besar dijadikan perniagaan francais.

 

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi tujuan itu, kementerian menggalakkan usahawan untuk memandang jauh ke hadapan dan mengambil peluang mengembang serta meningkatkan perniagaan menerusi perniagaan francais secara tempatan mahupun di peringkat antarabangsa.

 

“Kita mempunyai produk makanan tersendiri yang unik antaranya nasi lemak, kuetiau goreng, roti canai, mi kolok dari Sarawak serta latok dari Sabah yang mempunyai potensi besar untuk dipasarkan secara francais hingga boleh menembusi pasaran global.

 

“Apa sahaja produk atau perkhidmatan, inilah masanya untuk kita semua mendapat faedah platform dan bantuan yang diberikan daripada IEN untuk mempelajari dan melengkapkan diri dengan pengetahuan perniagaan lebih-lebih dalam menempuh cabaran sewaktu Covid-19,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program MyInspirasi for Keluarga Malaysia (MIKM) anjuran IEN sempena sambutan Hari Malaysia secara maya di sini hari ini.

 

Turut hadir, Presiden Dewan Perdagangan & Industri Asean, Datuk Sohaimi Sahadan; Pengerusi Persatuan Perniagaan Malaysia, Datuk Abdul Malik Abdullah dan Presiden Persatuan Yayasan Wholistic Family (WFA), Esther Ong.

 

Sementara itu, Alexander berkata, SME Corporation melaporkan hasil tinjauan secara dalam talian yang dibuat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) ke atas 3,855 usahawan dari 15 Februari hingga 5 Mac lalu mendapati, perusahaan mikro antara yang terjejas teruk akibat pandemik. 

 

Ini kerana katanya, produk keluaran peniaga mikro dikategorikan sebagai sektor bukan perkhidmatan perlu selain mereka tidak mempunyai simpanan mencukupi serta aliran tunai yang baik.

 

Justeru, beliau berkata, inisiatif diambil IEN dan WFA akan mewujudkan batu loncatan yang signifikan kepada kolaborasi perniagaan selain memastikan para usahawan kembali pulih segera daripada impak Covid-19  segera.

 

“Saya percaya program ini akan memberi banyak faedah kepada pemilik perniagaan serta rakan usahawan dan membantu mereka mewujudkan perniagaan, peluang serta kerjasama dalam industri,” ujarnya.

 

Tambah beliau, lebih 150 usahawan bakal memperoleh manfaat melalui program MIKM itu. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya