Hanya libatkan pemasangan bateri – YDP MPKL - Utusan Malaysia

Hanya libatkan pemasangan bateri – YDP MPKL

Wakil penduduk Kampung Jenjarom menunjukkan memorandum yang dihantar kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat bagi membantah pembukaan kilang bateri di kampung itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Penduduk Kampung Jenjarom di sini dinasihatkan tidak bimbang mengenai pembukaan semula sebuah kilang di Jalan Sukepi kerana pengoperasiannya tidak melibatkan pembuatan sebaliknya cuma pemasangan bateri.

Ia didakwa tidak bertentangan dengan Rancangan Tempatan (RT) 2030, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) walaupun dalam kategori industri berat, namun kerja pemasangan bateri diklasifikasikan sebagai perusahaan sederhana.

Perkara itu dimaklumkan Yang Dipertuanya, Datuk Amirul Azizan Abd. Rahim, apabila menjelaskan tiada risiko pencemaran akan berlaku terhadap pengoperasian semula kilang yang turut dipantau Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS).

Malah, katanya pembukaan semula kilang berkenaan tidak akan mengulangi insiden pencemaran yang pernah berlaku dahulu dan membuka kembali peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

“Syarikat lama memang buat bateri dan meleburkan plumbum, tetapi yang baharu ini hanya melibatkan pemasangan sahaja. Tidak ada risiko (pencemaran), JAS sudahkan sahkan operasi yang ketat diluluskan oleh mereka.

“Kita hendak buka pekerjaan baharu untuk anak-anak muda dekat Kampung Jenjarom, kita pun faham sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini ramai yang kena buang kerja,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Amirul Azizan turut memaklumkan pihak MPKL masih belum meluluskan pemberian lesen kepada syarikat Federal Power Holdings Sdn Bhd untuk beroperasi.

Malah, jika kelulusan diberikan, sebagai permulaan lesen sementara selama dua tahun akan dikuatkuasakan dan syarikat perlu memperbaharuinya pada setiap enam bulan bagi memastikan pematuhan syarat MPKL dan JAS dipatuhi.

“Bila semua syarat JAS dan MPKL sudah diluluskan, baharu kita keluarkan lesen. Tetapi kita pantau prestasi mereka dalam masa dua tahun,’’ katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN