KUALA LANGAT: Kira-kira 10,000 penduduk di Kampung Jenjarom di sini bimbang detik malang yang pernah mereka lalui apabila sebuah kilang pembuatan bateri yang pernah mengakibatkan pencemaran plumbum, dikatakan bakal kembali beroperasi.
Kilang berkenaan pernah ditutup oleh kerajaan negeri pada 2019 selepas menjadi punca penduduk setempat terdedah kepada pencemaran logam tersebut.
Namun, kilang berkenaan yang dipercayai bertukar tangan kepada sebuah syarikat baharu didakwa bakal meneruskan operasi sama berkaitan bateri selepas dikatakan diluluskan oleh kerajaan negeri baru-baru ini.
Situasi berkenaan membimbangkan kerana bukan sahaja terletak berhampiran kawasan kampung dan taman perumahan, bahkan lima buah institusi pendidikan juga terletak dalam lingkungan satu kilometer dari kilang berkenaan.
Kelima-lima premis itu didakwa menempatkan kira-kira 6,000 pelajar yang sebelum ini pernah terdedah dengan pencemaran plumbum daripada kilang berkenaan.
Pengerusi Badan Bertindak Isu Pencemaran Plumbum Kampung Jenjarom, Mohd. Nazri Afrizal mempersoal tindakan membenarkan kilang berkenaan beroperasi sedangkan ia pernah diarah tutup akibat masalah pencemaran.
Malah, beliau turut mempersoalkan pengoperasian kilang bateri yang dikategorikan oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) sebagai industri berat, dibenarkan beroperasi di atas tapak digazet sebagai kawasan perusahaan sederhana.
Katanya, menerusi Rancangan Tempatan (RT) 2030 MPKL, kilang perusahaan bateri dikategorikan sebagai industri berat kelas C3.
Tambahnya, pada 11 Januari lalu, JAS memaklumkan kilang tersebut perlu berpindah jika ingin meneruskan operasi kerana terletak dalam kawasan Kampung Jenjarom yang juga digazetkan bagi industri sederhana.
“Kita buat petisyen secara dalam talian untuk menunjukkan solidariti dan hampir 10,000 orang atau 98 peratus daripada mereka menandatangani bersetuju kilang berkenaan tidak dibenarkan beroperasi.
“Tetapi yang menjadi tanda tanya dalam isu kilang bateri itu, MPKL tidak menguatkuasakan undang-undang pihak berkuasa tempatan, sebaliknya mereka memberitahu bertindak atas rujukan Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada Jumaat lalu, sekumpulan penduduk Kampung Jenjarom serta wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan mengadakan bantahan di hadapan sebuah kilang di Jalan Sukepi selepas berjaya menghidu premis berkenaan akan kembali beroperasi dalam industri sama.
Bantahan itu diadakan selepas satu memorandum dihantar kepada Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd. Rahim supaya membatalkan rancangan pembukaan kilang bateri di kampung mereka.
Dalam pada itu, Mohd. Nazri memaklumkan susulan bantahan, dalam hari sama penduduk dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijemput untuk melawat kilang terbabit oleh syarikat berkaitan, namun mendakwa hanya ditunjukkan bahagian-bahagian tertentu dalam premis tersebut.
“Kemudian, selepas lawatan berkenaan, kami melihat JAS mengeluarkan arahan terdapat beberapa peralatan dalam kilang berkenaan perlu dikeluarkan kerana didapati tidak sesuai digunakan dalam kawasan perusahaan sederhana,” ujarnya.
Tambahnya, pada November 2018 kilang berkenaan pernah menerima aduan daripada penduduk kampung apabila mendapati keadaan air dalam longkang sekitar kilang berasid.
Malah, sebelum itu lagi kilang terbabit yang dibina pada 2011 dan beroperasi pada 2014 pernah terbakar pada 2017 sehingga menyebabkan penduduk termasuk murid tadika menerima akibatnya daripada sisa kebakaran seperti demam dan berhadapan bau busuk melanda kampung selama seminggu. -UTUSAN








