Hala tuju anak muda belum jelas - Utusan Malaysia

Hala tuju anak muda belum jelas

PEMILIH berdaftar terkini yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah seramai 21,113,234 orang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pergerakan anak muda dalam menentukan hala tuju kepemimpinan negara belum dapat dilihat secara jelas berikutan pelaksanaan Undi18 mampu membawa 1.2 juta pengundi baharu berumur 18 hingga 20 tahun.

Bagaimanapun, Pengarah Advokasi Undi18, P. Tharma berkata, jika dilihat berdasarkan data, golongan tersebut berkemampuan menjadi penentu hala tuju kepemimpinan negara.

Katanya, anak muda berpotensi besar memberi nafas baharu kepada kepemimpinan kerajaan berikutan pelaksanaan Undi18 mampu menghasilkan 7.8 juta pengundi baharu menjelang 2023.

“Jumlah pengundi anak muda sudah ada, persoalannya apakah anak muda mampu membawa nafas baharu atau membawa penambaikan kepada sistem politik negara.

“Semua itu bergantung kepada situasi politik semasa kerana hala tuju anak muda ketika ini tidak begitu jelas terutamanya untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tharma berkata, anak muda mendapat pelbagai halangan untuk mendapat tempat di dalam politik negara kerana banyak isu belum diselesaikan termasuk parti politik itu sendiri belum memberi peluang kepada anak muda sedangkan mereka berpotensi dan berkualiti.

Menurutnya, itulah perkara yang perlu anak muda sedari untuk bangkit dan berjuang bersama selepas Undi18 dilaksanakan bagi menyuarakan lebih banyak suara anak muda.

ADAM ADLI ABDUL HALIM

Dalam pada itu, aktivis pelajar dan masyarakat, Adam Adli Abdul Halim berkata, pengaruh politik di Malaysia masih bergantung kepada ahli politik yang sudah berusia kerana pengaruh dan pengalamannya.

Katanya, ahli politik mengambil peluang daripada pengaruh budaya sosial di Malaysia yang mana yang tua lebih dihormati daripada yang muda dan perkara itu dijadikan antara salah satu kelebihan kepada mereka di dalam politik.

“Ketika ini, anak muda mula sedar perkara itu bukan lagi menjadi satu kelebihan tetapi menjadi satu kelemahan kepada sistem politik di Malaysia kerana ahli politik tersebut lebih cenderung mengekalkan struktur lama dan fikirannya tidak terbuka untuk sebarang perubahan bagi idea-idea baharu.

“Perkara itu menyebabkan ramai anak muda mahu ke hadapan serta mahu politik di Malaysia lebih segar dengan idea-idea baharu. Walaupun masih muda, saya menganggap itu bukan satu halangan,” katanya.

Adam Adli berkata, anak muda perlu diberikan pendedahan mengenai situasi politik di negara ketika di bangku sekolah dan perbincangan politik dalam kalangan remaja perlu diberikan dengan betul.

Katanya, pihak sekolah bersama guru-guru perlu mendedahkan struktur politik di Malaysia dengan pendedahan yang tidak menyokong mana-mana pihak agar ia boleh dijadikan panduan untuk mereka membuat keputusan-keputusan politik.

“Sistem pendidikan Malaysia perlu berani untuk mendedahkan pelajar dengan ilmu-ilmu politik dan tidak perlu tunggu sehingga tamat persekolahan atau sudah memasuki alam universiti baru nak belajar,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya