PUTRAJAYA : Pindaan terhadap Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan berhubung Perkara 14 (Kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang) perlu dilakukan sebagai tindakan jangka masa panjang agar hak kerakyatan bagi anak wanita atau lelaki warganegara Malaysia adalah saksama.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, perkara itu adalah selari dengan prinsip kesaksamaan gender dalam Perkara 8 (Kesamarataan) dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, pendirian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) adalah supaya prosedur dan syarat permohonan kewarganegaraan bagi anak kepada wanita warganegara yang dilahirkan di luar negara perlu sama seperti anak kepada warganegara lelaki yang dilahirkan di luar negara dengan pasangan bukan rakyat Malaysia.
Ini kerana, katanya, KPWKM memberi perhatian serius berhubung isu kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara yang berkahwin dengan warga asing.
“Isu status kewarganegaraan anak-anak yang dilahirkan di luar negara sentiasa menjadi perhatian KPWKM. Perkara 2 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) turut menyatakan hak untuk tidak didiskriminasi.
“Perkara 7 CRC menyatakan hak untuk mendapatkan kerakyatan dan Perkara 8 CRC pula hak untuk mengekalkan identiti kanak-kanak termasuk kerakyatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan sesi libat urus dengan Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan input agar kerajaan dapat membuat keputusan sewajarnya tanpa mengetepikan hak wanita yang berkahwin dengan warga asing.
Sementara itu, kata Rina, perbincangan berterusan diadakan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan hak kanak-kanak dilindungi, dijaga serta menjamin kesaksamaan undang-undang dan pentadbiran tanpa diskriminasi.
“KPWKM memberi jaminan tindakan segera akan diambil bagi memastikan prinsip asas ini diterjemahkan ke dalam prosedur sedia ada,” katanya. -UTUSAN ONLINE










