Cukai jualan dalam talian bolos - Utusan Malaysia

Cukai jualan dalam talian bolos

JUALAN dalam talian yang semakin popular di negara ini digunakan oleh peniaga tidak bertanggungjawab dengan pelbagai cara untuk mengaut keuntungan tanpa membayar cukai kepada kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mengalami kerugian ratusan juta ringgit setahun jika kerajaan ti­dak mengambil tindakan segera membendung peniaga dalam talian warga asing yang tidak membayar cukai import, cukai jualan dan perkhidmatan (SST), serta caj permit seperti diperuntukkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kelemahan kawalan kerajaan ke atas peniaga atas talian menarik minat warga asing menjadi peniaga di beberapa platform dalam talian di negara ini dan situasi tersebut dilihat sedang mengancam periuk nasi peniaga tempatan.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, seorang pembeli tegar atas talian yang hanya mahu dikenali sebagai Fadzril berkata, dia mula mengesyaki barangan elektronik yang dibeli daripada satu akaun peniaga di platform perniagaan dalam talian tempatan adalah buatan China dan bukannya buatan tempatan seperti diiklankan.

“Saya tidak berpuas hati kera­na rasa tertipu dengan iklan produk itu menyebabkan saya meminta wang dipulangkan. Namun, apabila saya berurusan dengan jurucakap peniaga berke­naan, jurucakap itu memaklumkan permintaan saya bercanggah dengan polisi platform jualan mereka.

“Mengikut polisi platform itu wang hanya dipulangkan sekiranya pembeli tidak menerima barang, menerima barang salah atau barang itu rosak,” kata beliau kepada Utusan Malaysia.

Mengejutkan lagi, ketika beliau cuba berhubung dengan penjual terus berdasarkan alamat yang didaftarkan dalam platform jualan online tersebut, beliau mendapati penjual berke­naan adalah warga China yang tinggal di negara ini.

“Penjual berkenaan berpera­nan menguruskan soal jaminan barangan diterima pelanggan,” cerita beliau yang kemudian mula sangsi dengan produk-produk yang ditawar di platform atas talian.

Kata beliau, siasatan lanjut kemudian mendapati peniaga sama rupanya memiliki lebih daripada 20 akaun atas platform sama.

Jelas Fadzril lagi, daripada semakan ke atas semua akaun peniaga itu, dalam tempoh dua tahun, peniaga berkenaan mampu memperoleh hasil jualan kira-kira RM150 juta tanpa perlu membayar apa-apa cukai.

Fadzril memberitahu, jika situasi ini tidak ditangani, sudah tentu setiap tahun kerajaan mungkin rugi ratusan juta ringgit kerana kelemahan mengawal peniaga dalam talian.

Katanya, platform itu juga membenarkan peniaga memasukkan nombor penjejakan secara manual yang sudah tentu membolehkan peniaga asing mengambil kesempatan itu.

“Mereka sudah tentu dapat memasukkan nombor penjejakan antarabangsa untuk menghantar barang secara satu per satu dengan declaration yang palsu agar dapat elak semua cukai dan permit.

“Amalan ini tidak dibenarkan di platform perniagaan dalam talian sama yang beroperasi di Thailand, Indonesia dan Filipina kerana sebetulnya (barang) penjual tempatan harus dihantar dari tempatan dan bukan dari luar negara, maka ini memberi manfaat kepada penjual warga China dan menyebabkan kerugian cukai kepada kerajaan dan sekali gus mengancam jualan warga tempatan,” katanya.

Dalam pada itu,Presiden Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Datuk Michael Kang perkara itu sudah lama berlaku dan mampu menggugat peniaga tempatan.

Menurut beliau, mereka yang menjalankan kegiatan ini sudah tentu mampu menjual dengan harga yang lebih murah berbanding harga ditawarkan peniaga tempatan yang lebih tinggi kerana perlu membayar cukai.

“Apabila peniaga online libatkan warga asing dapat menjual produk dengan murah kerana tidak perlu bayar cukai maka ini tidak adil buat warga tempatan yang juga berniaga atas platform sama,” katanya.

Selain itu, katanya, kebebasan peniaga online warga asing itu merisikokan pembeli kerana produk seperti elektronik tidak melalui kelulusan SIRIM.

“Perkara ini juga sudah lama dan banyak kali berlaku, malah ada barang tiada safety, banyak yang tiada SIRIM approval dan standard piawaian yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN