KUALA NERUS: Mana-mana ahli yang digantung keahlian dalam UMNO bukan disebabkan kelantangan mengkritik mana-mana pemimpin, sebaliknya kerana melanggar tatasusila dan disiplin parti.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebagai parti yang demokrasi, semua pihak boleh berbeza pandangan mahu pun mengkritik kepemimpinan tertinggi termasuk Presiden.
“Berbeza pandangan dan mengkritik itu biasa, tetapi isunya ialah apabila kita melampaui batas dan perkara berkenaan disiasat oleh Lembaga Disiplin hingga diangkat ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
“Tindakan terbaharu parti menggantung keahlian tidak ada kaitan dengan mengkritik mana-mana individu pemimpin tetapi kerana ia melibatkan soal tatasusila dan juga disiplin yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan loji rawatan air bergerak di Dataran Jeram Hulu di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said.
UMNO menggantung keahlian Exco Pemuda, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo selama enam tahun berkuat kuasa 27 Ogos lalu selepas didapati melanggar Perlembagaan parti.
Asyraf Wajdi berkata, hak sebagai seorang ahli tetap terjamin dalam Perlembagaan parti dan individu yang digantung keahlian masih lagi boleh merayu kepada Lembaga Disiplin.
“Sebagai abang sulung dalam Pemuda, sudah tentu saya bertanggungjawab memberikan nasihat dan peringatan apabila menerima laporan daripada akar umbi tetapi apabila sudah diambil tindakan itu, maka kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana Lembaga Disiplin merupakan badan bebas,” katanya. -UTUSAN ONLINE