Tetap tamat pengajian walau dua kali hamil sepanjang belajar

Tetap tamat pengajian walau dua kali hamil sepanjang belajar

FATIN Fathirah Ismail bersama keluarga memperoleh Diploma Pasca Siswazah Pendidikan pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-17 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, Terengganu semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Walaupun melalui dua kehamilan sepanjang pengajian, Fatin Fathirah Ismail, 28, cekal menamatkan pengajian Diploma Pascasiswazah Pendidikan (DPP) dan menerima sijilnya pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen ke-17 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini semalam.

Anak kelahiran Kampung Losong, Kuala Terengganu itu memulakan pengajian DPP pada 2023 dan tidak me­nyangka bakal menerima rezeki berganda apabila disahkan hamil dua bulan sebaik sahaja mendaftar.

Katanya, dia melahirkan anak kedua ketika berada di semester dua sebelum kembali dikurniakan rezeki anak ketiga semasa menjalani latihan meng­ajar dan selamat bersalin pada 1 Oktober lalu, hanya beberapa minggu sebelum konvokesyen.

“Sepanjang belajar memang banyak cabaran. Kadangkala sedang buat tugasan, anak menangis minta susu. Ada masa saya belajar sambil dodoi anak sebab tidak boleh tinggalkannya,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen.

Fatin Fathirah yang pernah berkhidmat sebagai guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sekolah Kebangsaan Bukit Losong, di sini mengakui masa paling sukar adalah menjelang peperiksaan apabila terpaksa mengurus anak kecil sambil menghafal nota.

“Sebelah malam biasanya orang lain ulangkaji tetapi saya tak boleh fokus sebab anak kecil hendak tidur atau demam. Jadi saya curi masa belajar waktu anak sudah lena walaupun badan sangat penat,” ujarnya.

Katanya, walaupun baru 10 hari berpantang bersalin, dia tetap hadir ke kelas dari pagi hingga petang kerana tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran.

“Sepatutnya pelajar tidak dibenarkan mengandung semasa pengajian tetapi saya bersyu­kur pensyarah faham keadaan saya. Jadi saya nekad datang ke kelas walaupun masih lemah sebab baru bersalin,” ujarnya.

Menurutnya, pengalaman itu mengajarnya tentang erti ketabahan dan pengorbanan sebenar seorang ibu yang mahu mencapai kejayaan dalam hidup.

“Ramai orang ingat bila dah ada anak, susah nak belajar tetapi bagi saya, kalau ada semangat dan sokongan keluarga, insya-Allah semuanya boleh,” katanya.

Dia turut berterima kasih kepada suaminya yang banyak membantu menjaga anak serta memberi ruang untuknya menyiapkan tugasan dan menghadiri kelas.

Fatin Fathirah adalah siswazah Sarjana Muda Syariah Islamiyah dari Mesir berkata, kejayaannya menjadi hadiah paling bermakna buat keluarganya selepas melalui tempoh pengajian yang penuh cabaran.

“Bila pegang sijil ini, saya rasa semua penat, air mata dan pengorbanan itu sangat berbaloi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN