Ahmad Zahid cadang UiTM wujudkan Fakulti Kuantum

Ahmad Zahid cadang UiTM wujudkan Fakulti Kuantum

UiTM Fakulti Kuantum
AHMAD Zahid Hamidi berucap pada Seminar Ilmuwan Islam Malaysia anjuran Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia dan UiTM di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) diberi tanggungjawab untuk mewujudkan jabatan ‘kuantum’ bagi membangunkan penyelidikan bidang itu dan seterusnya menawarkannya kepada mahasiswa menerusi penubuhan fakulti khusus.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, menerusi kewujudan pusat pengajian bagi bidang tersebut akan meletakkan Malaysia di barisan hadapan bersama dengan negara-negara maju.

“Kecerdasan buatan (AI) memang baik dan dijalankan dengan cukup baik. Tetapi, kuantum adalah teknologi baharu yang berdasarkan kepada dapatan teknologi terakhir dan Malaysia tidak seharusnya ketinggalan dalam perkara itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya penuh keyakinan jika UiTM dapat diberikan tanggungjawab untuk mewujudkan jabatannya pada tahun hadapan. Saya amat yakin potensinya cukup besar bagi mengambil ramai pelajar memasuki pengajian itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau merasmikan Seminar Ilmuwan Islam Malaysia anjuran Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dihadiri lebih 85,000 mahasiswa yang hadir serta mengikuti secara langsung dalam talian dari kesemua kampus di seluruh negara.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara dalam ucapannya mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada UiTM.

Menurutnya, peruntukan tersebut turut menyokong pembangunan jabatan kuantum serta pengajian berkaitan TVET dan AI di universiti itu.

“Untuk kedua-dua tujuan itu, saya ingin menyerahkan sebanyak RM500,000 kepada Pengerusi UiTM, Tan Sri Mohd. Kamil Jamil. Kita serahkan amanah dan kepercayaan kepada beliau. Justeru, masa hadapan negara bergantung kepada prestasi anak-anak (mahasiswa) sekian.

“31 tahun dari sekarang Malaysia akan menyambut kemerdekaan ke-100 pada 2057. Anak-anaklah yang akan menjadi pemimpin negara, industri dan juga akademik dalam pelbagai bidang profesional,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin memberitahu, UiTM mempunyai kepakaran-kepakaran berkenaan teknologi kuantum yang akan digabungkan bagi mewujudkan jabatan khusus.

“Secara peribadi, saya mula menggagaskan penyelidikan kuantum sejak 1998 di Multimedia University (MMU), waktu itu memang kita melihat ke hadapan langkah seterusnya adalah kuantum. Waktu itu juga Singapura sudah bergerak.

“Untuk UiTM kita sudah mula menggerakkan, tetapi kita ada kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Tetapi, dengan mandat daripada Timbalan Perdana Menteri, maka kita akan bergerak sepenuhnya secara dalaman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN