Afghanistan kecewa Malaysia tidak buka kedutaan - Utusan Malaysia

Afghanistan kecewa Malaysia tidak buka kedutaan

PEMANDANGAN di salah sebuah kawasan pasar di Kote Sangi, Kabul yang dipenuhi penduduk tempatan selepas Taliban mengambil alih pemerintahan negara itu. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Duta Afghanis­tan ke Malaysia kecewa kerana negara ini tidak membuka kedutaan di Kabul selain dilihat tidak berminat membuat pelaburan di negara itu berbanding Indonesia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Dr. Moheb Rahman Spinghar berkata, beliau melihat hubungan negara ini dan negaranya terus dingin seolah-olah tidak diberi perhatian dan dipinggirkan.

“Malaysia dianggap negara maju namun sejak mencapai kemerdekaan belum membuka kedutaan di Kabul berbanding jirannya, Indonesia yang lebih aktif di Afghanistan.

“Lebih sedih, Afghanis­tan juga bukan pilihan utama pelabur Malaysia berbanding negara tetangganya di rantau Asia Tengah dan bekas Kesa­tuan Soviet yang lebih pesat berkembang,” kata beliau ketika ditemui Utusan Malaysia di canseri negara berkenaan di sini sebagai merujuk senario politik Afghanis­tan setelah ditawan Taliban bulan lepas.

Mengulas lanjut, menurut beliau, Malaysia juga tidak berminat membuka bisnes di Afghanistan sedangkan banyak potensi pelaburan besar yang boleh diteroka dengan baik.

Moheb memberitahu, selama ini, Malaysia dihormati dan dipandang tinggi oleh Afghanistan manakala lebih 4,000 rak­yatnya berada di sini, sama ada untuk belajar atau bertugas.

“Namun di Afghanistan pula amat sedih apabila cuma ada dua rakyat Malaysia dan itupun sebab mereka bertugas sebagai sukarelawan misi bantuan kemanusiaaan antarabangsa,” katanya.

Ditanya status kedutaan Afghanistan di seluruh dunia, kata beliau, mereka sedia berkhidmat kepada pemerintahan baharu susulan kejatuhan negara Islam itu kepada Taliban pada 15 Ogos lalu.

Moheb Rahman berkata, pihaknya akur walaupun terpaksa menukar bendera selain perubahan nama rasmi negara itu kelak, namun setakat ini belum di­muktamad­kan.

“Kami sebagai diplomat harus menumpahkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada tanah air tercinta, tidak kiralah siapa kerajaan yang sedang memerintah,” tegas beliau.

Afghanistan ketika ini mempunyai 44 kedutaan dan 21 konsulat di seluruh dunia selain lima pejabat perwakilan tetap dengan pelbagai organisasi sejagat termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Bahkan negara tersebut sebelum kejatuhan Presiden Mohammad Ashraf Ghani Ahmadzai, mempunyai hubungan diplomatik dengan 14 negara lain menerusi misi akreditasi kedutaan.

Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah minggu lalu memaklumkan bahawa Malaysia setakat ini belum memperakui Taliban sebagai kerajaan baharu sah Afghanistan.

Putrajaya dilaporkan meng­ambil pendirian ‘tunggu dan lihat’ perkembangan semasa di Kabul serta tidak akan membuat keputusan tergesa-gesa berhubung isu status itu.

Ia susulan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India masih memegang taraf akreditasi ke atas hal ehwal Afghanistan, seolah-olah memberi isyarat negara ini mengiktiraf Taliban.

Menjelaskan lebih lanjut, Moheb Rahman berkata, Kedutaan Afghanistan masih dibuka seperti biasa dan perkhidmatan konsular beroperasi normal untuk kepentingan rakyat negara tersebut.

“Tidak timbul isu kedutaan akan ditutup disebabkan peralihan kerajaan baharu kerana sebagai diplomat dan penjawat awam, kami akan profesional terus berkhidmat demi negara,” jelasnya.

Justeru, beliau menafikan konon ada duta Afghanistan yang akan berpaling tadah memohon perlindungan suaka politik seperti Myanmar apabila berlaku rampasan kuasa junta tentera.

Ketika ini, Taliban dalam proses membentuk Kabinet dan senario itu dijangka menyaksikan perubahan nama negara, bendera rasmi dan lagu kebangsaan yang diwartakan sejak 2013.

Negara itu bakal dikenali semula sebagai Emiriah Islam Afghanistan, nama pernah digunakan pada 1996 selain bendera tertera kalimah syahadah, sebelum ditawan Amerika Syarikat pada 2001. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN