PETALING JAYA: Gaji kecil dan gred gaji yang tidak setaraf dengan kelulusan menjadi antara faktor utama penghijrahan segelintir jururawat tempatan ke luar negara.
Ketua Jabatan Kejururawatan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Maziah Ahmad Marzuki berkata, walaupun ada jururawat memegang ijazah sarjana muda tetapi gaji yang ditawarkan di hospital awam adalah sama dengan pemegang diploma.
Malah, katanya, jawatan dan skim jururawat yang masih di takuk lama membuatkan mereka cenderung berkhidmat di negara lain.
“Ada jururawat yang mempunyai sarjana tapi gaji diploma. Negara kita terutama di hospital awam masih tiada kuota untuk pengambilan jururawat U41.
“Jika ada yang kata kenaikan pangkat perlu dibuat berdasarkan pengalaman, ia juga sepatutnya perlu bersandarkan pada pengetahuan dan ilmu (mempunyai kelayakan yang diiktiraf) agar boleh melahirkan jururawat lebih kompeten dan menyampaikan ilmu hampir setara pakar perubatan pada masa akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan penghijrahan jururawat ke luar negara dijangka akan terus melonjak susulan banyak negara kini membuka pasaran buruh bagi sektor berkenaan.
Dalam pada itu, Maziah berharap, Malaysia mampu melahirkan lebih banyak pakar jururawat kilinikal yang mempunyai taraf pendidikan sarjana dan doktor falsafah.
“Kita mahu jururawat yang boleh memberi penjelasan terperinci kepada pesakit dan juga mampu menghasilkan kajian berkaitan dalam bidang ini. Ia penting supaya bidang ini ada lonjakan pada masa akan datang,” jelasnya. -UTUSAN









