7 institusi bawah JKM tempatkan kanak-kanak yatim piatu akibat Covid-19 - Utusan Malaysia

7 institusi bawah JKM tempatkan kanak-kanak yatim piatu akibat Covid-19

SITI Zailah Mohd. Yusoff (tengah) merasmikan Program BIMT sambil diperhatikan oleh Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah (kiri) dan Pengarah PPN Negeri Sembilan, Roslan Mat Nong (kanan) di Pusat Keluarga LPPKN Negeri Sembilan di Seremban 2, Seremban hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak tujuh buah institusi khas di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara telah dikhususkan untuk memberikan perlindungan kepada kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 namun tidak mempunyai waris atau saudara mara untuk menjaga mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff, tujuh buah institusi tersebut daripada 36 institusi kanak-kanak di seluruh negara yang menempatkan kanak-kanak daripada pelbagai kategori.

“Sekiranya kanak-kanak ini tidak mempunyai ahli keluarga terdekat untuk menjaga, JKM menyediakan tujuh buah institusi khas yang terdapat di seluruh negara untuk menempatkan kanak-kanak ini.

“Bagaimanapun kami utamakan jika kanak-kanak ini mengalami kematian ibu dan ayah , pilihan pertama adalah kami menggalakkan ahli keluarga terdekat untuk memelihara mereka. Ibu dan bapa saudara mahupun jiran yang terhampir yang sangat rapat dengan mereka dan orang yang layak dan selamat untuk menjaga kanak-kanak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bantuan Ibu Miskin dan Miskin Tegar (BIMT) di Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Menurut Zailah lagi, tujuh buah institusi tersebut ditetapkan mengikut zon iaitu dua buah di zon utara, dua buah di zon tengah, sebuah di zon timur manakala sebuah institusi masing-masing di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu beliau berkata, program BIMT tersebut merupakan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Negeri Sembilan dengan LPPKN Negeri Sembilan yang telah memperuntukkan bantuan sebanyak RM20,000 kepada 100 orang penerima yang terdiri daripada ibu yang bakal melahirkan anak dan ibu yang mempunyai anak berumur 24 bulan ke bawah.

Jelasnya, menerusi program tersebut, setiap penerima akan mendapat sumbangan barangan keperluan bayi seperti pakaian, susu, lampin pakai buang, set mandian dan set bersalin yang bernilai sebanyak RM200.

“Program BIMT sangat membantu ibu bapa yang menghadapi banyak kekangan dalam keadaan pandemik Covid-19 ketika ini. Ia merupakan program yang julung kali diadakan dan saya harap ia dicontohi dan dilaksanakan di negeri-negeri lain,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya