3 faktor utama kerjasama ASEAN-China - Utusan Malaysia

3 faktor utama kerjasama ASEAN-China

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia menyarankan kerjasama ASEAN-China pada masa depan berasaskan kepada tiga faktor utama yang antara lain sebagai usaha melancarkan pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga faktor itu ialah mempergiat perdagangan dan pelaburan terbuka, memperkukuh Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sebagai alat penting untuk kebangkitan ekonomi ASEAN selain melaksanakan gelembung perjalanan rentas sempadan.

Menurut beliau, dalam usaha mempergiat perdagangan dan pelaburan terbuka, adalah sangat mustahak bagi ASEAN dan China memperhebatkan usaha tersebut terutama ketika kemunculan gelombang baharu wabak dengan terus bekerjasama menerapkan hubungan multilateral perdagangan berdasarkan peraturan untuk memudahkan wilayah tersebut dalam menghadapi krisis.

“Seperti digariskan dalam Kerangka Pemulihan Ekonomi ASEAN, kita harus berusaha memastikan hubungan rantaian bekalan tidak terganggu dan memudahkan pergerakan barang dan perkhidmatan. 

“Dengan menghapuskan halangan perdagangan yang tidak perlu selain menggunakan langkah-langkah perdagangan baharu, kita mampu mencapai kadar pertumbuhan ekonomi pra-pandemik,” katanya ketika berucap dalam China ASEAN Expo (CAEXPO) Edisi Ke-18, secara maya, hari ini. 

Ismail Sabri berkata, sudah tiba masanya ASEAN dan China mempromosikan kerjasama dalam perkongsian ekonomi digital di samping mempercepatkan adaptasi penggunaan teknologi dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi rantau ini.

Kata beliau, berhubung faktor RCEP pula yang akhirnya ditandatangani selepas lapan tahun rundingan, membuktikan ASEAN bersama Rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) termasuk China komited untuk terus memastikan kepentingan pasaran terbuka bagi negara rantaian bekalan transnasional biarpun terkesan wabak global.

Perdana Menteri berkata, setelah ia berkuat kuasa, RCEP akan berfungsi sebagai panduan untuk membantu wilayah ini menuju pemulihan dan pertumbuhan ekonomi masa depan. 

“Perjanjian ini memberikan peluang besar untuk meningkatkan rantaian bekalan serantau dan mempelbagaikan rangkaian pengeluaran bagi perniagaan. Ini sangat penting untuk kelancaran integrasi dalam ekonomi global,” katanya.

Dalam pada itu,  sebagai rakan kongsi penting ASEAN, inisiatif bersama untuk mengatur gelembung perjalanan dan kuarantin perjalanan perlu dirangka antara ASEAN dan China sekali gus meletakkan posisi lebih baik untuk menghidupkan kembali bukan sahaja industri pelancongan, tetapi juga jalinan antara masyarakat. 

Katanya, ini termasuk saling mengiktiraf dokumen pensijilan vaksinasi yang boleh dibangunkan secara bersama selain merangka usaha kreatif dalam mengembalikan hubungan antara masyarakat memandangkan pandemik telah menyekat pergerakan sempadan kerana masih dianggap aktiviti berisiko tinggi. 

“Oleh itu, adalah sangat baik jika ASEAN secara aktif dapat mengembangkan kerangka pengaturan koridor perjalanan untuk memudahkan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan sekali gus menjadikan wilayah ini pada jalan yang stabil untuk pemulihan dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN