UMNO Melaka yakin kemampuan PM baharu - Utusan Malaysia

UMNO Melaka yakin kemampuan PM baharu

MOHAMAD ALI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: UMNO Melaka yakin pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan adalah tepat dalam usaha kerajaan menangani pandemik Covid-19 yang dilihat melonjak setiap hari.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, ia berdasarkan pengalaman luas Ahli Parlimen Bera itu dalam pentadbiran negara sewaktu menjawat pelbagai jawatan dalam Kabinet.

Menurutnya, rakyat ketika ini amat mengharapkan Perdana Menteri baharu dapat menampilkan pendekatan berkesan untuk mengekang Covid-19.

“Saya yakin Ismail Sabri ada idea-idea baharu bagi mengerakkan semula tindakan yang lebih proaktif dan berkesan. Rakyat benar-benar mengharapkan sentuhannya dapat menyekat rantaian Covid-19 daripada terus melonjak tinggi.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan mewakili seluruh ahli parti UMNO Melaka mengucapkan tahniah atas pelantikan sebagai Perdana Menteri kesembilan.

“Saya yakin pelantikan ini dapat melenyapkan kemelut politik yang tegang sebelum ini dan saya optimis beliau dapat memimpin Malaysia ke arah lebih maju dan bebas Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Naib Presiden UMNO itu sebagai Perdana Menteri selepas mendapat sokongan 114 ahli Dewan Rakyat.

Perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini.

Proses seterusnya ialah lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan esok pukul 2.30 petang, di lstana Negara, Kuala Lumpur.

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin telah menyembah maklum surat perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri kelapan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN