TNB peruntuk RM120 juta tajaan biasiswa, pinjaman - Utusan Malaysia

TNB peruntuk RM120 juta tajaan biasiswa, pinjaman

MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) memperuntukkan sebanyak RM120 juta bagi tajaan biasiswa dan pinjaman pendidikan boleh ubah kepada seramai 331 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi pada tahun ini.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daripada keseluruhan peruntukan itu, TNB menyediakan peruntukkan sebanyak RM35 juta dalam bentuk biasiswa kepada 120 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Menurutnya, pelajar tersebut menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan kejuruteraan, data sains dan analitik, sains komputer, perakaunan dan pengajian perniagaan.

Katanya, penerima biasiswa ini dipilih daripada sejumlah 8,400 pemohon di seluruh negara yang mengemukakan permohonan biasiswa YTN.

“Seramai 100 penerima biasiswa YTN itu akan melanjutkan pengajian di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) manakala 20 pelajar lagi akan melanjutkan pengajian di universiti luar negara.

“Tajaan biasiswa penuh itu merangkumi elaun sara hidup, yuran pengajian, kos pembelian komputer peribadi, buku dan lain-lain keperluan.

“Pelajar-pelajar ini telah membuktikan mereka mampu mendapat keputusan yang cemerlang meskipun terpaksa berdepan dengan situasi pembelajaran dalam talian berbanding pembelajaran secara konvensional iaitu secara bersemuka lantaran penularan COVID-19.”
katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, YTN juga memperuntukkan sejumlah RM1 juta bagi pembiayaan seorang pelajar sepanjang tempoh pengajian di universiti luar negara.

Katanya, peruntukan sebanyak RM120,000 hingga RM140,000 bagi pembiayaan pengajian seorang pelajar di UNITEN mengikut bidang pengajian masing-masing.

“Penerima biasiswa YTN pada tahun ini dipilih berdasarkan faktor akademik, kualiti kepimpinan dan penglibatan aktif dalam kokurikulum.

“Pelajar yang terpilih ini juga mempunyai peluang untuk menjadi warga kerja TNB apabila tamat pengajian kelak dan diharapkan dapat menjadi pemimpin pelapis untuk menerajui TNB pada masa depan,” ujarnya.

Tambah Mahdzir lagi, tajaan biasiswa ini merupakan satu lagi komitmen TNB untuk terus bersama rakyat, selain membantu usaha meningkatkan modal insan berkualiti untuk pertumbuhan negara di masa akan datang.

Sementara itu, menurutnya, seramai 211 pelajar dengan peruntukan sebanyak RM85 juta pula terpilih menerima pinjaman pendidikan boleh ubah untuk mengikuti pengajian di UNITEN dan Universiti Awam bagi mengikuti pengajian di peringkat Diploma, Program Asas dan Ijazah Sarjana Muda.

“YTN telah memperhatikan lebih RM1.2 bilion sejak dari tahun 1993 lagi dengan memberikan peruntukan dermasiswa MyBF (RM66 juta), biasiswa (RM597 juta) dan pinjaman pendidikan boleh ubah (RM547 juta) kepada lebih 18,500 pelajar,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya