MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka mencadangkan tiga nilai ambang yang dijadikan penanda aras dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dikaji semula khususnya untuk bagi negeri ini.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, adalah sangat sukar untuk Melaka sebagai sebuah negeri kecil beralih ke fasa seterusnya jika mengambil kira nilai ambang semasa.
Jelas beliau, unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka sahaja menempatkan pesakit kritikal tahap empat dan lima, tidak seperti negeri lain contohnya Johor yang mempunyai kelebihan lebih daripada satu hospital.
“Itulah satu (ICU Hospital Melaka). Mana mungkin Melaka boleh selesaikan nilai ambang itu kerana nilai itu tidak tercapai berdasarkan jumlah peningkatan kes harian melebihi 114 kes setiap hari.
“Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz selalu Menteri Penyelaras PPN juga memaklumkan akan melihat kepada jumlah yang telah mendapat dos vaksin. Kalau perkara itu menjadi pengukur, mungkin kita akan beralih ke fasa kedua,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid Al-Alami, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Hadir sama, Penasihat Agama kepada Ketua Menteri, Datuk Kamarudin Sidek.
Sementara itu, mengenai kebenaran rentas daerah, Sulaiman berharap kerajaan pusat mempertimbangkan permohonannya supaya individu yang sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin dibenarkan melakukan pergerakan itu.
“Saya telah maklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi kelonggaran kepada Melaka
“Langkah ini merupakan salah satu cara kita dapat meningkatkan dan memulihkan industri pelancongan negeri,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE