KUALA LUMPUR: Sunzen Group Berhad (Sunzen) memberi tumpuan sepenuhnya kepada segmen perniagaan berpotensi tinggi selepas mengambil langkah strategik untuk keluar daripada perniagaan kesihatan haiwan yang mencatatkan kerugian.
Pada Februari lalu, Sunzen menandatangani perjanjian jual beli saham bagi melupuskan anak-anak syarikat terlibat dalam perniagaan tersebut dengan nilai pertimbangan tunai sebanyak RM17.3 juta.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Teo Yek Ming berkata, langkah pelupusan itu merupakan sebahagian daripada pelan transformasi menyeluruh kumpulan bagi meningkatkan kecekapan operasi dan mengukuhkan kedudukan penyata untung rugi syarikat.
“Proses pelupusan sedang dijalankan dan dijangka selesai dalam masa terdekat.
“Langkah ini akan meningkatkan fleksibiliti kewangan serta membolehkan syarikat memberi fokus kepada segmen-segmen yang lebih mampan dan menguntungkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, antara segmen yang menjadi keutamaan Sunzen ketika ini termasuk pembiayaan pinjaman, peralatan dan perkhidmatan perubatan serta produk kesihatan yang disifatkan lebih berdaya tahan dan selari dengan peningkatan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan.
Mengulas mengenai segmen pembuatan, beliau berkata, kumpulan sedang menyusun semula strategi dengan beralih kepada model Pembuatan Reka Bentuk Asal (ODM).
“Kumpulan juga giat memperkukuh penjenamaan dan keterlihatan pasaran melalui penyertaan dalam pameran perdagangan serta pembangunan produk baharu.
“Kami menjangkakan permintaan domestik yang stabil, khususnya dalam kategori makanan tambahan dan produk kesihatan tradisional, akan terus menyokong pertumbuhan hasil syarikat,” ujarnya.
Tambah beliau, Sunzen kekal optimis terhadap prospek masa hadapan dengan memberi fokus kepada pengukuhan segmen teras, pemacu pertumbuhan jangka panjang serta kepelbagaian pasaran bagi mencipta nilai mampan kepada pemegang saham.
Berdasarkan keputusan kewangan terkini, pasaran tempatan terus menjadi penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan, terutamanya daripada segmen pembiayaan pinjaman, peralatan dan perkhidmatan perubatan serta produk kesihatan.
“Permintaan terhadap suplemen kesihatan dan produk tradisional kekal kukuh di Malaysia, disokong peningkatan kesedaran kesihatan dalam kalangan pengguna serta corak perbelanjaan bermusim.
“Walaupun kami mempunyai kehadiran dalam pasaran eksport, terutamanya bagi produk sarang burung, sumbangannya masih kecil dan terjejas oleh permintaan yang lemah di pasaran luar seperti China,” katanya.
Justeru, beliau berkata, strategi pertumbuhan semasa Sunzen akan lebih tertumpu kepada pengukuhan kedudukan dalam pasaran domestik yang menawarkan permintaan lebih stabil serta potensi pengembangan berskala. – UTUSAN










