KUALA PILAH: Seorang wanita trauma setiap kali dia melihat rumah sewa yang didiami selama tujuh tahun dan kereta miliknya selepas peristiwa suaminya meninggal dunia akibat Covid-19 baru-baru ini.
Kepada Utusan Malaysia, Siti Norhidayu Mohd. Nasir, 30 berkata, disebabkan itu dia kini mengambil keputusan tinggal di rumah keluarganya di Taman Sri Ulu Bendul dekat sini.
“Sehingga kini, saya masih trauma dan saya merasakan arwah suami masih ada bersama saya dan anak-anak di rumah sewa kami di Taman Kekwa, Ampangan. Selepas saya dan anak-anak sembuh dari Covid-19 saya membawa mereka pulang ke rumah keluarga kerana selalu ternampak bayang suami di rumah sewa.
“Suami saya seorang yang bertanggungjawab dan dia pandai menguruskan anak-anak. Saya tidak sangka dia pergi begitu cepat namun saya reda dengan ketentuan Ilahi.
“Saya juga akan keluar dari rumah itu pada hujung tahun ini dan kereta itu saya mahu menjualnya kerana terlalu sedih,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Siti Norhidayu yang merupakan suri rumah berkata, hasil perkahwinan dengan Allahyarham suaminya, Mohd.Zaman Ismail, 32, mereka dikurniakan tiga orang anak berusia dua hingga enam tahun.
Sementara itu, dia memberitahu, suaminya yang bekerja sebagai penyelia tapak binaan telah dijangkiti Covid-19 melalui salah seorang pekerja warga asing.
“Pada 22 Julai lalu, arwah suami membawa pekerjanya mendapatkan rawatan akibat demam dan apabila menjalani ujian saringan, pekerjanya itu positif Covid-19. Bagaimanapun, arwah suami saya pula negatif dan dia memberitahu mahu menjalani kuarantin di dalam bilik selama empat hari kerana risau menjangkiti anak-anaknya.
“Pada 26 Julai, saya perasan dia mula batuk dan dia dihubungi ketua di syarikatnya bagi menjalani saringan kali kedua dan pada masa itu, dia menghubungi saya dan memaklumkan dia positif Covid-19,” katanya.
Tambah Siti Norhidayu, suaminya menjalani kuarantin kendiri di sebuah rumah kedai yang disewa oleh syarikat tempatnya bekerja selama empat hari sebelum dia mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke Hospital Jempol.
“Pada waktu itu juga, anak bongsu saya mengalami gejala dan akhirnya kami sekeluarga dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban (HTJ). Saya tidak memaklumkan kepada suami kerana khuatir dia akan risau.
“Kemudian, saya mendapat panggilan video daripada seorang jururawat di Hospital Jempol yang memaklumkan suami saya akan ditidurkan kerana tahap oksigen semakin menurun dan saya sempat memohon maaf kepada suami dan dia kemudian berpesan agar menjaga anak-anak kami dengan baik,” katanya.
Selepas seminggu, Siti Norhidayu memberitahu dia dihubungi jururawat yang memaklumkan suaminya meninggal pada pukul 2.21 pagi pada 12 Ogos lalu.
“Ketika saya menerima panggilan itu saya berada di hospital bersama anak-anak, saya tidak mampu mengeluarkan air mata namun doktor memaklumkan kepada saya jantung saya berdegup laju pada ketika itu sehingga dia (doktor) mahu menjalani pemeriksaan lanjut.
“Selepas dua hari, saya baru ada kekuatan untuk memberitahu doktor bahawa suami saya meninggal dunia. Kemungkinan saya sangat sedih jadi jantung saya berdegup laju. Saya hanya membuat pengecaman mayat suami melalui panggilan video dan sehingga hari ini saya belum pernah ke kubur suami saya,” katanya yang mahu mencari kerja dan menjaga anak-anaknya bersama keluarga. – UTUSAN










