Risiko bahaya ‘senyap’ dari gunung - Utusan Malaysia

Risiko bahaya ‘senyap’ dari gunung

MUHAMMAD FAZLEE SABARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mereka yang berminat mendaki gunung dinasihatkan lebih berwaspada kerana banyak risiko bahaya boleh berlaku ketika cuaca buruk.

Perkara itu disuarakan Presiden Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM), Muhammad Fazlee Sabarudin apabila ditanya Utusan Malaysia mengenai tahap keselamatan kawasan pergunungan di negara ini.

“Ia sebenarnya banyak bergantung kepada lokasi mana gunung hendak didaki, tetapi risiko akan lebih tinggi jika di situ ada banyak sungai yang perlu dilalui,” katanya di sini semalam.

Beliau mengulas senario bencana dahsyat di Yan, Kedah minggu lalu akibat fenomena kepala air yang tidak disangka dari puncak Gunung Jerai.

Dalam kejadian tersebut, enam penduduk terkorban dengan kira-kira 1,000 buah rumah rosak sekali gus menjadi malapetaka terburuk kejadian kepala air.

Mengulas lanjut, Muhammad Fazlee berkata, risiko kepala air dari puncak gunung boleh muncul selepas hujan lebat selain jika kawasan tanah tinggi itu mempunyai aktiviti pembalakan.

“Ini salah satu sebab terjadi tanah runtuh di cerun yang kelazimannya sebanyak dua atau tiga kali setiap hujung tahun, khasnya ketika musim tengkujuh dan boleh berlaku banjir,” jelasnya.

Pada masa itu ujarnya, sebahagian besar permit pendakian gunung akan ditutup atas faktor keselamatan setelah dibuat penilaian risiko oleh pihak jabatan perhutanan negeri atau daerah.

PMGM yang ditubuhkan sejak 2015 lalu dengan lebih 1,000 anggota itu, turut menasihatkan malim gunung mengenal pasti lokasi sungai sebelum dibina tapak perkhemahan sementara.

Bercakap mengenai isu kepala air di Gunung Jerai, beliau berkata, insiden itu bukan kesan penebangan hutan yang diuar-uarkan kerana kesemua anak sungai di hulu masih terpelihara.

“Jika dua projek pembangunan dan kuari di hilir didakwa kononnya punca kepala air, ia amat mustahil kerana bencana sepatutnya cuma terhad, tetapi ia berlaku di kawasan luas,” katanya.

Kebetulan jelas Muhammad Fazlee, kadar taburan isipadu hujan di situ memang amat padat beberapa hari sebelum itu dan menyebabkan berlaku lebihan air takungan di puncak gunung.

Bahkan tegasnya, ketumpatan dan kederasan air dari arah tinggi mengakibatkan hentaman kuat serta membawa bersama sekali hampas atau puing sisa kayu dari pokok di tebing sungai.

Justeru jelas beliau, tiada pokok bersaiz besar dari jenis akar berbanir kuat cengkam bumi ditemui hanyut dalam hampas kepala air, namun kebanyakan yang berukuran sederhana sahaja.

“Air terjun rekreasi sekitar kaki gunung ini memang ada kepala air dan diketahui penduduk setempat, manakala lumpur dibawa itu dari kawasan tanah lembut mudah terhakis,” katanya.

Tambahan pula, Gunung Jerai diwartakan hutan simpan kekal dan telah pun diiktiraf sebagai Tapak Geopark Kebangsaan pada 2018  yang dimasyhurkan sendiri oleh Sultan Kedah.

Gunung tersebut malahan dalam senarai tapak geologi tertua rantau Asia Tenggara oleh badan sejagat, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Berketinggian 1,217 meter dari paras laut, gunung ini mempunyai kepelbagaian geologi batuan berusia lebih 550 juta tahun yang menjadikan unik dan memiliki nilai warisan sangat tinggi.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN