MELAKA: Polis Melaka memberikan tempoh bertenang selama tiga hari kepada rakyat negeri ini berikutan kekeliruan pembukaan semula 11 sektor ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan, semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, keputusan itu dibuat untuk memastikan maklumat mengenainya telah diterima oleh semua lapisan masyarakat terutamanya peniaga sebelum tindakan kompaun diambil.
“Bermula hari ini sehingga Rabu ini, pihak polis akan menggunakan pendekatan pemantauan secara berhemah dengan memberikan maklumat dan nasihat kepada mereka yang masih keliru.
“Polis negeri juga akan sentiasa berbincang dengan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) sebelum mengambil tindakan kompaun,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian di sini hari ini.
Terdahulu, MKN Melaka mengumumkan negeri ini masih tidak dibenarkan untuk membuka 11 sektor ekonomi berikutan kadar vaksinasi penuh belum mencapai 50 peratus mengikut syarat utama ditetapkan.
Pengarahnya, Mohd. Nasrul Menhat menjelaskan, situasi terkini kadar suntikan vaksin dos kedua di negeri ini hanya mencapai 39.1 peratus.
“Bagi suntikan dos pertama, Melaka telahpun melepasi kadar melebihi 50 peratus, namun, yang lengkap dos kedua kita baru mencapai 39.1 peratus,” katanya. -UTUSAN ONLINE










