PRU-15 jalan terbaik - Utusan Malaysia

PRU-15 jalan terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan isu politik semasa negara dan memilih pemimpin yang layak untuk mentadbir negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, ini kerana pemilihan pemimpin yang akan dibuat Yang di-Pertuan Agong tidak akan memberi kepuasan kepada semua ahli politik, sekaligus perkara yang sama (kerajaan tidak stabil) akan berulang.

ABDUL AZIZ MOHD. YUSOF

“Benda yang sama akan berlaku, berapa kali nak hadapi perkara yang sama? Kita lihat sekarang, siapa pun yang dipilih, ahli politik tidak akan tenang.

“Apabila seseorang Perdana Menteri tiada majoriti kerana ada seorang dua yang menarik sokongan terhadapnya, perkhid­matan dia perlu ditamatkan, apa ini?” soalnya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Aziz turut berkata, jika diadakan dalam waktu terdekat, PRU kali ini perlu dibuat dengan cara berbeza berbanding PRU sebelum ini.

Katanya, ia perlu mengambil kira faktor pandemik Covid-19 yang masih berada pada tahap membimbangkan.

“Kebimbangan saya adalah pada waktu berkempen kerana paling minimum ia perlu diadakan selama 12 hari, ia memerlukan pendekatan ahli politik untuk bertemu dengan rakyat.

“Jadi, peraturan ketat adalah perlu dalam hal ini, tidak dibenarkan berkempen secara bersemuka dan perlu diadakan secara maya. Walaupun ia tidak memberi kepuasan kepada ahli politik, tetapi, ia adalah perlu bagi mengekang wabak Co­vid-19,” ujarnya.

Abdul Aziz berkata, PRU boleh diadakan sekiranya vaksinasi sudah mencapai 90 peratus di seluruh kawasan.

Bercakap mengenai tempoh pengundian pula, Abdul Aziz berkata, ia boleh dipanjangkan tempohnya bergantung kepada keperluan yang akan ditentukan oleh Pengerusi SPR. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN