ALOR SETAR: Projek litar lumba antarabangsa bernilai RM1 bilion dicadangkan untuk dibangunkan oleh Open Road Asia Sdn. Bhd. (Open Road) di Langkawi sebagai projek pelaburan syarikat swasta dengan usahasama Permodalan Kedah Bhd. (PKB).
Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Abdul Rahman Din menegaskan, tidak timbul sebarang isu berkaitan penganugerahan projek secara terpilih atau istimewa melibatkan kerajaan negeri.
“Memandangkan ia melalui perjanjian projek usahasama tersebut, Open Road selaku pemaju adalah pihak yang bertanggungjawab penuh bagi menyediakan dana dan menanggung kesemua kos pembangunan di atas hartanah milik PKB,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media berkaitan laporan polis yang dibuat oleh seorang individu berkenaan Projek Open Road International Circuit And Integrated Resorts (ORIC) baru-baru ini.
Abdul Rahman menjelaskan, individu bernama Goh Hock Choy yang menjadi pertikaian dalam isu itu bukan pengarah syarikat mahupun pemegang syer Open Road.
“Sebaliknya, beliau (Hock Choy) merupakan pengasas Open Road yang kini hanya bertindak selaku penasihat bagi aktiviti perniagaan Open Road.
“Oleh itu, perjanjian bagi projek usaha sama ORIC yang termeterai antara PKB dan Open Road tidak melibatkan tanda tangan beliau sama sekali,” jelasnya.
Malah tambahnya, PKB menjalankan proses ketekunan wajar dan mendapati Open Road adalah syarikat yang berkemampuan, bukan syarikat yang muflis serta pengarah-pengarah syarikat bukan individu yang berstatus bankrap.
“Kami ingin menasihati semua pihak agar terlebih dahulu mendapatkan kepastian berkenaan sesuatu isu sebelum menyebarkannya kepada pihak lain. PKB sentiasa bersedia untuk memberikan penerangan kepada pihak media mahupun orang awam berkenaan projek-projek PKB,” tambahnya. -UTUSAN ONLINE










