Perbaiki cerun di Pusat Falak Sheikh Tahir, lebih berdaya tahan - Utusan Malaysia

Perbaiki cerun di Pusat Falak Sheikh Tahir, lebih berdaya tahan

JKR akan menggunakan kaedah yang lebih berdaya tahan bagi menjamin keselamatan dan kestabilan cerun yang terlibat dengan insiden tanah runtuh di Pusat Falak Sheikh Tahir, Balik Pulau, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menggunakan kaedah yang lebih berdaya tahan bagi menjamin keselamatan dan kestabilan cerun yang terlibat dengan insiden tanah runtuh di Pusat Falak Sheikh Tahir, Balik Pulau, dekat sini kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, JKR akan menggunakan kaedah tieback wall bagi membaiki cerun di kawasan berkenaan.

Katanya, kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih cerun yang terlibat dengan insiden berkenaan juga akan dilantik dalam masa terdekat.

“Kaedah stone pitching yang digunakan sebelum ini tidak cukup kuat untuk memberi perlindungan kepada cerun.

“Jadi, JKR akan membaiki cerun tersebut dengan menggunakan kaedah yang lebih berdaya tahan iaitu tieback wall,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kelmarin, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri memaklumkan bangunan Pusat Falak Sheikh Tahir itu tidak selamat untuk diduduki selepas berlaku kejadian batu menggelongsor dari tebing sehingga menyebabkan tanah runtuh.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2 petang ekoran hujan lebat namun tidak melibatkan mangsa.

Susulan kejadian itu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) tampil menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang dan pihak berwajib memberi perhatian serius mengenai keselamatan cerun di situ.

Presidennya, R. Meenakshi berkata, kerosakan yang berlaku perlu dibaik pulih segera untuk menjamin keselamatan dan kestabilan cerun manakala tindakan mitigasi perlu dilakukan supaya masalah itu tidak berulang pada masa depan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN