PETALING JAYA: Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri meletakkan jawatan dianggap membuka ruang ke arah perubahan untuk negara dalam berhadapan dengan situasi Covid-19 dan kemelut ekonomi.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik langkah Muhyiddin meletakkan jawatan setelah gagal menguruskan pandemik Covid-19 dengan cepat dan berkesan.
“Saya menggesa semua pihak untuk bertenang dan berdoa semoga Malaysia kembali bangkit kuat dalam menghadapi tantangan kesihatan dan ekonomi pada saat ini. Saya ucap terima kasih atas khidmat beliau pada negara,” katanya.
Bagaimanapun, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal enggan mengulas berkenaan peletakan jawatan Perdana Menteri dan seluruh Kabinet selepas menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong semalam.
“Nantilah esok (hari ini) saya berikan pandangan saya. Kita berikan masa untuk beliau bertenang dalam keadaan sekarang. Cuma, saya mengucapkan terima kasih kepada beliau,” katanya.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga menghargai tindakan Muhyiddin selepas tidak lagi mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.
“Selama 17 bulan berkuasa, Muhyiddin telah berusaha tetapi tidak mampu menangani krisis tiga serentak iaitu pandemik Covid-19, kemelesetan ekonomi dan ketidakstabilan politik,” katanya.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, mandat rakyat ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu perlu dikembalikan dan ahli Parlimen yang menang pilihan raya atas tiket Pakatan Harapan (PH) kembali bersama gabungan itu supaya mandat diberikan rakyat dapat dilaksanakan.
“Maka, tidak ada sesiapa yang ketinggalan kerana peranan dan pandangan pembangkang akan turut diambil kira dalam menguruskan negara untuk keluar daripada kemelut kesihatan akibat Covid-19 dan membina semula ekonomi negara,” jelasnya.
Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman menyeru semua pihak menyerahkan segala keputusan kepada pakar-pakar perundangan negara dan menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri baharu menggantikan Muhyiddin.
“Seperti Tun Dr. Mahathir sebelum ini, beliau menjadi caretaker dan dalam masa beberapa hari Seri Paduka memanggil semua ahli Parlimen dan ketua-ketua parti untuk pastikan siapa yang mempunyai sokongan majoriti pada hemat Seri Paduka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Muhyiddin sejak awal lagi mendambakan kestabilan politik namun keadaan bertukar malang disebabkan ada pihak yang berniat merosakkan kestabilan yang dikecapi.
“Tindakan Muhyiddin menunjukkan beliau seorang negarawan yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negara. Malang buat negara kita kerana ada pihak berkepentingan peribadi yang rakuskan kuasa terus menerus merosakkan kestabilan itu,” katanya.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, partinya akan terus bersama PN sama ada gabungan itu akan berperanan sebagai kerajaan atau pembangkang selepas kerajaan baharu dibentuk dalam masa yang belum dipastikan selain berjuang untuk rakyat dan negara. – UTUSAN









