Malaysia kutuk serangan berdarah di Kabul - Utusan Malaysia

Malaysia kutuk serangan berdarah di Kabul

WISMA Putra
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia hari ini mengutuk keras serangan pengganas terhadap orang awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul, Afghanistan lewat semalam.

Kementerian Luar berkata, kerajaan Malaysia turut melahirkan perasaan simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban akibat insiden berdarah itu.

“Serangan tidak berperikemanusiaan itu memburukkan lagi keadaan dan situasi kemanusiaan yang sudah kritikal di Afghanistan” kata Wisma Putra menerusi kenyataan di sini malam ini.

Semalam, media antarabangsa melaporkan serangan nekad dipercayai dilakukan musuh kuat Taliban iaitu militan Daesh Khilafah Islam Khorasan yang turut mengaku bertanggungjawab.

Insiden tidak dijangka itu turut berlaku serentak di sebuah hotel yang berhampiran lapangan terbang tersebut serta mengorbankan lebih 100 orang termasuk wanita dan kanak-kanak.

Sejumlah 13 anggota tentera Amerika Syarikat yang mengawal lapangan terbang itu juga terbunuh, menyebabkan ramai pemimpin dunia mengecam aksi serangan bunuh diri berkenaan.

Taliban yang menguasai ibu kota Kabul sejak 15 Ogos lalu, dijangka mentadbir lapangan terbang itu secara rasmi selepas semua warga asing selesai keluar ditetapkan pada 31 Ogos ini.

Mengulas lanjut, Malaysia ujar Kementerian Luar, menyeru semua pihak terbabit agar memberi keutamaan kepada keselamatan orang awam yang berhasrat meninggalkan negara itu.

“Namun pada masa sama, masyarakat antarabangsa dan badan sejagat perlu memastikan bantuan kemanusiaan tetap disalurkan kepada rakyat Afghanistan yang memerlukan,” katanya.

Kerajaan Malaysia malahan akan tetap memberi sokongan kepada segala usaha damai dan penyelesaian konflik politik berterusan demi kepentingan kesejahteraan rakyat Afghanistan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya