Mahu kreatif biarlah sesuai - Fazley Yaakob kesal menu Melayu 'dimandikan' matcha dan pistachio - Utusan Malaysia

Mahu kreatif biarlah sesuai – Fazley Yaakob kesal menu Melayu ‘dimandikan’ matcha dan pistachio

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob menyelar tindakan segelintir pengusaha makanan yang mencampuradukkan ramuan teh hijau ‘matcha’ dan pistachio ke dalam hidangan secara melulu demi mengejar trend.

Fazley atau Ahmad Fadzli Yaakob, 48, menegaskan bahawa penambahan dua perisa popular tersebut tidak menjadi kesalahan sekiranya digabungkan dengan menu yang tepat.

“Sesiapa sahaja boleh menambah perisa *matcha* dan pistachio ke dalam makanan yang dihasilkan. Tetapi, pastikan hidangan tersebut bersesuaian dengan gabungan perisa berkenaan.

“Tiba-tiba muncul menu ikan keli yang disalut sos hijau, daging salai disapu krim hijau, dan ayam goreng yang disiram cecair pekat berwarna hijau. Sekiranya mahu menjadi kreatif tidak salah, tetapi perlulah melakukan kajian terlebih dahulu,” katanya.

Fazley ang juga pemenang program MasterChef Selebriti Malaysia menjelaskan bahawa meletakkan elemen hijau pada semua jenis masakan tanpa usul periksa hanya akan merosakkan kualiti makanan tersebut.

“Dahulu sibuk dengan trend ‘Mak Kau Hijau’, adakah sekarang kita mahu memulakan trend baharu ‘Tepek Semua Benda Hijau’? Perkara sebegini sudah kelihatan terlalu melampau,” katanya.

Kritikan tersebut dipercayai timbul berikutan lambakan video tular di media sosial yang memaparkan pelbagai hidangan tradisional Melayu digabungkan dengan sos matcha dan pistachio secara berlebihan.

Untuk rekod, Fazley mula menempa nama dalam industri kulinari selepas bergelar juara program MasterChef Selebriti Malaysia pada tahun 2012 sebelum melanjutkan pengajian di akademi masakan terkemuka, Le Cordon Bleu Malaysia dan Paris.

Selain aktif mengusahakan restoran miliknya, SukaSucre Bistro, beliau juga pernah diiktiraf sebagai Most Distinguished Alumni oleh Le Cordon Bleu Paris atas usahanya memartabatkan hidangan tradisi Asia Tenggara di peringkat antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN