PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digesa mengurangkan kerenah birokrasi membabitkan sebarang pengeluaran caruman individu pemegang dokumen IMM 13 terutama ketika penularan Covid-19.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pemegang dokumen tersebut yang juga pencarum, berdepan detik kesukaran membuat pengeluaran selepas KWSP memberikan pelbagai alasan munasabah.

“Kita perlu faham, ada pemegang IMM 13 sebelum ini mempunyai kad pengenalan sewaktu caruman mula dibuat. Masalah timbul apabila mereka dilucutkan kewarganegaraan dan menjadi pemegang dokumen IMM13 walhal seperti yang kita tahu, maklumat data peribadi ada dalam simpanan KWSP.
“ Selepas itu, apabila pencarum mahu mengeluarkan wang mereka, KWSP meminta pelbagai dokumen lain sehingga mendatangkan bebanan. Malah, ada yang memakan masa yang lama untuk mendapatkan wang caruman walaupun ketika pandemik Covid-19 ,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sebagai rekod, IMM 13 merupakan pas lawatan yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengikut peruntukan Peraturan 11 Peraturan-peraturan Imigresen 1963 bertujuan membantu pemantauan kumpulan pelarian yang tercetus di Selatan Filipina sebelum ini.
Dalam pada itu, salah seorang pemegang dokumen IMM 13, Jani Jinani berkata, dia yang turut berdepan kesukaran telah mencarum KWSP sejak tahun 1992 dengan penyata terakhir dikeluarkan pada tahun 2013.
“Saya mempunyai kad pengenalan dari tahun 1992 sehingga tahun 1995. Namun, kad pengenalan saya telah dibatalkan kerana isu maklumat diri dan diganti dengan dokumen IMM 13. Malangnya, apabila saya mahu membuat pengeluaran caruman pada 2013, saya bawa dokumen IMM 13.
“Dokumen itu ditolak dan perlu melalui pelbagai prosedur antaranya perlu mendapatkan pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Malah, pada tahun 2018, saya menghubungi KWSP, namun, alasan yang diberikan hanya kerana saya tidak mempunyai akaun bank yang ditetapkan mereka,”jelasnya.- UTUSAN ONLINE










