Kerajaan gagal urus Covid-19, pemimpin MUDA desak Parlimen dibuka - Utusan Malaysia

Kerajaan gagal urus Covid-19, pemimpin MUDA desak Parlimen dibuka

Ahli jawatankuasa MUDA, PSM dan Tian Chua (kanan) serta peguam keluar dari Balai Polis Dang Wangi . UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemimpin MUDA mendakwa kerajaan Perikatan Nasional gagal menguruskan pandemik Covid-19 dengan peningkatan kes secara mendadak selepas Ordinan Darurat dilaksanakan selain menghalang ahli Parlimen bersidang di Dewan Rakyat bagi membincangkan kemaslahatan rakyat.

Setiausaha Agung MUDA, Amir Abd. Hadi mendakwa, pihaknya menuntut agar Parlimen dibuka untuk kesemua pemimpin bersidang bagi menyatakan idea dan penyelesaian dalam menghadapi cabaran Covid-19 sehinggakan memberi kesan besar kepada rakyat.

Malah, beliau turut mempersoalkan tindakan menutup Parlimen sehingga menggunakan Akta Polis untuk tujuan membuat sekatan trafik namun kerajaan enggan menutup kilang-kilang yang banyak menyebabkan jangkitan Covid-19 terutamanya di Selangor.

“Kita masih berpegang teguh dengan tiga tuntutan iaitu mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan. Keduanya ekonomi serta pendidikan dan menuntut agar Parlimen bersidang.

“Rakyat semakin tertekan, bosan dan muak. Hampir 500,000 perniagaan kecil gulung tikar dan kes kematian serta bunuh diri semakin meningkat. Kerajaan telah hilang sokongan.. Tiada apa apa perlu ditakutkan jika ada sokongan,” dakwanya kepada pemberita selepas memberi keterangan di Ibu pejabat Polis (IPD) Dang Wangi hari ini.

Amir bersama tiga lagi pemimpin MUDA serta Naib Presiden PKR, Tian Chua dan enam individu lain memberi keterangan di IPD Dang Wangi selama dua jam pada pukul 12.30 tengah hari.

Antaranya, Naib Presiden MUDA, Dr. Thanussha Farncis Xavier; AJK MUDA, Dr. Teo Lee Ken; AJK Pusat Parti Sosialis Malaysia, Sharan Raj dan Dr. Mathen Nair.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan polis mengesan 47 individu yang dipercayai terlibat dalam perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ yang berlangsung di sekitar Dataran Merdeka, dekat sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya setakat ini telah merakam percakapan seramai 11 individu bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan tersebut.

Katanya, satu kertas siasatan turut dibuka berhubung perhimpunan itu mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan jangkitan) 2021.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.